RamadanSemasa

Beri peluang kepada imam tempatan pimpin solat tarawih – JAIS

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan bahawa keputusan untuk tidak membenarkan imam jemputan solat tarawih luar negara di masjid dan surau di seluruh Selangor pada Ramadan tahun ini adalah keputusan yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sejak 2015.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata larangan berkenaan dibuat untuk memberi laluan sepenuhnya kepada imam-imam tempatan, para asatizah, para graduan dan pelajar-pelajar tahfiz tempatan yang juga menguasai aspek-aspek Al-Quran yang baik dan mempunyai ilmu pengetahuan Fiqah sebagai imam.

Menurutnya ketetapan yang dibuat selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu dibuat sebagai usaha menyediakan imam-imam pelapis untuk mengisi keperluan imam di masjid dan surau di Selangor pada masa hadapan.

Keputusan ini juga dibuat bagi mengatasi wujudnya segelintir individu atau pihak yang menjadi perantara menawarkan imam solat tarawih dari luar negara dengan kadar bayaran tertentu, namun pada masa sama menyebabkan peminggiran imam sedia ada, imam tempatan dan para huffaz di Selangor.

“Terdapat juga keadaan apabila kehadiran imam luar negara menimbulkan beberapa isu melibatkan perbezaan mazhab dalam pelaksanaan solat dan mengambil kesempatan mengutip derma untuk faedah dan manfaat orang Islam yang tidak mendapat kebenaran di bawah Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2016,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Shahzihan turut memaklumkan JAIS sentiasa bekerjasama rapat dengan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) dalam menyediakan para huffaz untuk menjadi imam solat Tarawih.

Katanya pihak masjid dan surau boleh menghubungi Bahagian Pendidikan Islam (BPI) JAIS untuk mendapatkan nasihat dan panduan mengenai perkara berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan hanya imam lantikan MAIS sahaja dibenarkan untuk menjadi imam solat Tarawih di masjid, surau dan musolla di Selangor.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button