PendidikanSemasa

Bercakap seorang diri, bekas wartawan kongsi pengalaman penyakit mental

CYBERJAYA: Pengalaman mengalami gangguan kesihatan mental yang agak teruk mendorong seorang bekas wartawan hiburan untuk menghasilkan sebuah buku bagi berkongsi pengetahuan kepada umum yang mungkin berdepan masalah sama.

Menurut Maliah Surip, 42, buku Senandika: Bercakap Seorang Diri yang dihasilkan selama 3 bulan menyusuri kehidupannya yang didiagnosis dengan penyakit General Anxiety Disorder, Panic Attack (serangan panik) dan Social Anxiety Disorder (SAD) serta Major Depressive Disorder (MDD) pada tahun 2019.

Pelancaran buku Senandika: Bercakap Seorang Diri telah dirasmikan penyanyi popular, Datuk Amy Search & Misha Omar di DXN Cyberville, di Cyberjaya.

“Saya setuju untuk melancarkan Senandika: Bercakap Seorang Diri kerana mahu berbagi ilmu dan kesedaran yang seharusnya menjadi tanggungjawab kita bersama,” luah beliau di facebook.

Tambah beliau, penyakit yang dihadapinya tercetus kerana kebimbangan melampau susulan mimpi buruk yang dialami sewaktu menunaikan ibadah umrah kira-kira 10 tahun lalu, tanpa menyedari dirinya sebenarnya trauma dengan kejadian berkenaan.

Sikap suka menyimpan dalam hati dan tidak meluahkannya menyebabkan trauma itu menghantui diri dan daripada situlah penyakit ini berkembang tanpa disedari.

“Selama ini, saya ingatkan sikap saya yang suka menyendiri di dalam bilik, berasa rendah diri, takut dan tak mahu jumpa dengan orang lain adalah kerana malas dan anggapnya sebagai normal, namun tak sangka pula ia sebenarnya merupakan masalah kesihatan mental,” katanya.

Bercerita lanjut, ibu kepada tiga anak berusia 7 hingga 13 tahun itu berkata masalah berkenaan hanya disedari selepas menjalani ujian kendiri Depression Anxiety Stress Scale (DASS) menerusi satu program yang dianjurkan di temoat kerjanya.

Meskipun mengetahui keadaan dirinya yang tidak stabil, Maliah tetap hidup dalam dunia penafian dan enggan menjalani rawatan susulan sehinggalah terpaksa berhenti kerja kerana masalah itu yang semakin serius.

Justeru, Maliah berharap penghasilan buku itu dapat meningkatkan kesedaran orang ramai selain membangkitkan semangat pesakit gangguan kesihatan mental untuk terus berjuang mencari kehidupan yang lebih baik.

Beliau juga menyifatkan buku itu sebagai sumbangan kepada masyarakat lebih-lebih lagi ketika ini sukar untuk menemui buku yang dihasilkan sendiri oleh pesakit gangguan kesihatan mental di pasaran.

Bagi yang ingin memiliki naskah Senandika: Bercakap Seorang Diri, boleh layari ke laman facebook Maliah Surip atau klik laman pembelian di sini .

BACA JUGA
7 sebab anda perlu muat turun aplikasi UmmahToday

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button