Belum ada kes Covid-19 dilaporkan berkaitan perhimpunan #Lawan
PUTRAJAYA : Tiada laporan mengenai kes jangkitan Covid-19 melibatkan perhimpunan “Keluar dan “Lawan yang diadakan di Dataran Meredeka pada 31 Julai lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah merujuk mesej tular mengenaik dakwaan jangkitan Covid-19 membabitkan perhimpunan itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) maklum berkenaan perkara itu namun tidak dapat memastikan kesahihan dakwaan terbabit.
“Siasatan masih dijalankan dan setakat ini, tiada laporan (kes) yang dikaitkan dengan kluster demonstrasi,” katanya dalam sidang akhbar mengenai perkembangan Covid-19 semalam.
Mesej tular itu antara lain mendakwa seluruh anggota keluarga individu terbabit dijangkiti Covid-19 berpunca daripada adiknya yang hadir ke perhimpunan tersebut.
Mengulas lanjut, status vaksinasi Covid-19 bagi ibu hamil, Dr Noor Hisham berkata sehingga 8 Ogos lepas, sejumlah 146,759 orang telah berdaftar di MySejahtera bagi mendapatkan vaksin.
Daripada jumlah itu, seramai 83,251 ibu hamil atau 57 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 20 peratus daripada mereka telah lengkap menerima dua dos vaksin.
-BERNAMA
Oleh Hafeez Anuar