DuniaSemasa

Belia di Lubnan, Palestin dan Syria berdepan masa depan yang sukar

BEIRUT: Belia di persekitaran kawasan zon konflik terutamanya di Palestin, kem pelarian Syria dan Lubnan kini berdepan dengan ketakutan, kebimbangan serta masa depan yang sukar untuk dijangka.

Isu ini terbukti berdasarkan kajian tiga tahun oleh Persatuan Pendidikan Lubnan dengan kerjasama Universiti Amerika Beirut untuk Dasar Awam dan Hal Ehwal Antarabangsa, lapor agensi berita Arab.

Menurut Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Notre Dame, Dr Kamal Abu Chedid, jawapan kebanyakan belia migran mencerminkan kesengsaraan dan penderitaan yang mereka alami.

Lebih sedekad yang lalu, Lubnan merupakan negara Arab yang digunakan rakyat Syria sebagai tempat berlindung dan menyelamatkan diri daripada kekejaman pemimpin.

Lubnan kini menjadi tempat kepada lebih enam juta orang dan menempatkan jumlah pelarian tertinggi di dunia dengan mencatatkan 865,331 warga Syria secara rasmi berdaftar di bawah Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian hingga Disember 2020.

Dianggarkan setakat ini, bilangan pelarian Syria yang menetap di Lubnan berjumlah 1.5  juta orang, yang kini menetap di kem atau tempat berhimpun yang disediakan.

Manakala, jumlah pelarian Palestin yang tinggal di kem pelarian berdasarkan bancian penduduk pada 2017,  adalah sebanyak 174,422 pelarian, dilaporkan 7.2 peratus daripadanya buta huruf.

Jumlah pelarian Palestin kebanyakan berumur di antara tiga hingga 13 tahun dengan 93.6 peratus mendapat pendidikan dan kadar pengangguran dianggarkan sebanyak 18.4 peratus.

Sementara itu, kemerosotan hidup dan ekonomi di Lubnan serta kejatuhan mata wang tempatan mengakibatkan lebih satu juta golongan belia di negara itu mengganggur.

“Pemuda pelarian Syria ramai  tercicir dalam mendapatkan akses pendidikan dan peluang pekerjaan serta  berdepan dengan autoritarianisme sehingga membuatkan mereka berasa cemas dan putus asa, ditambah pula keadaan politik yang tidak stabil.” kata Profesor Pendidikan Universiti Lubnan, Dr. Ghada Jouney.

Tambah Jouney, bagi pemuda Syria mereka kini bimbang dengan peperangan yang bakal meletus di negara itu sehingga memaksa mereka untuk melaksanakan perkhidmatan ketenteraan di Syria yang bakal menyukarkan mereka untuk mencapai impian.

Mengulas lanjut, Jouney berkata  kebanyakan pemuda pelarian Syria mengimpikan untuk pulang ke  tanah air, bagaimanapun, memikirkan negara yang ditenggalami rasuah itu membuatkan kebanyakan pelarian memilih untuk berhijrah ke negara lain seperti Sweden dan Kanada. – AGENSI

Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button