Bekas petugas haji perjelas makna visa Furada
Pada Khamis, negara digemparkan dengan kes 380 bakal jemaah haji yang terkandas di KLIA kerana dikatakan menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.
Insiden itu telah menimbulkan keraguan mengenai penggunaan visa furada dan malah ada yang menganggap bahawa ia adalah satu taktik penipuan.
Menurut penjelasan daripada bekas petugas haji Furada bagi syarikat pengendali umrah Saudagar Travels, visa tersebut sememangnya wujud tetapi ia bersifat ‘last minute’.
“Pihak syarikat perlu menerangkan kepada jemaah tentang status visa ini agar tidak berlaku sebarang kekeliruan.
“Yang menjadi fitnah kepada visa ini adalah segelintir syarikat atau individu yang nak kaut keuntungan tanpa memikirkan penat jerih orang lain, katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Tambahnya, ada segelintir syarikat yang tamak dan berani mengambil pendaftaran sehingga mencecah 300 pendaftaran dalam satu masa dan mereka sendiri tahu bahawa visa tersebut tiada jaminan akan lulus kesemuanya.
Malah, dia turut mengatakan bahawa ada juga syarikat yang sengaja mengambil kesempatan kepada bakal jemaah haji dengan mengatakan kononnya boleh buat haji menggunakan Visa Pelancong.
Dalam pada itu, dia turut menjelaskan tentang beberapa kelebihan menggunakan visa tersebut untuk menunaikan rukun Islam ke-5 itu.
“Antara kelebihan adalah jemaah tidak perlu mendaftar dengan Tabung Haji serta tidak perlu menunggu giliran tahun untuk mengerjakan haji.
“Fasiliti dan suasana di khemah-khemah Mashaer Haji juga lebih selesa dan para jemaah dibenarkan untuk pilih jumlah hari pakej,” jelasnya.
Dalam pada itu, dia turut mengingatkan kepada syarikat pengendali yang mempunyai jemaah yang ramai untuk buat kolaborasi bersama syarikat yang berdaftar sebagai Syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dikelola oleh pihak TH.