PASIR MAS: Bayi lelaki berusia satu tahun 3 bulan ditemukan lemas di Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang, kira-kira 1 tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa berkata mangsa, Mohamad Putera Zafran Mohd Ashwadi dikatakan bermain di anjung rumah bersama kakaknya sebelum hilang di kawasan rumah itu yang sedang dilanda banjir.
“Pihak kami menerima panggilan berhubung kejadian itu tengah hari tadi dan jentera digegaskan ke lokasi kejadian pada 1:04 tengah hari untuk operasi menyelamat”, jelas Shapawi.
Menurut beliau lagi, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa sudah dijumpai penduduk kampung dan jasadnya kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Nenek kepada mangsa, Siti Khadijah Abdullah, 52, berkata, cucunya dibawa menaiki lori bomba ke Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat dan selepas semuanya selesai dia akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual To’Deh, di Pasir Mas.
“Saya masih lagi terkejut dan sedih, tambahan pula menantu (bapa mangsa) bekerja jauh di Australia dan hanya diberitahu tentang musibah menimpa anaknya melalui telefon”, jelas Siti Khadijah penuh sebak.
BACA JUGA
Kanak-kanak 3 tahun korban pertama banjir Pantai Timur