“Bayangkan Netflix, tetapi khas untuk kanak-kanak Muslim” – Sinan Ismail
Anda risau anak-anak anda menonton cerita yang bukan-bukan? Jangan risau, aplikasi Durioo+ ada kandungan Islamik yang menarik dan selamat untuk tontonan anak-anak anda.
Durioo+ merupakan platform penstriman yang ditujukan kepada kanak-kanak dan memfokuskan pada kandungan dengan nilai Islamik.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Durioo, Sinan Ismail berkata pihak mereka telah menawarkan satu inisiatif dengan mewujudkan satu platform dan kandungan Islamik yang boleh diakses di Malaysia dan seluruh dunia.
“Ia umpama Netflix, tetapi aplikasi ini khas untuk kanak-kanak Muslim, segala kandungannya selamat untuk ditonton dan sudah ditapis. Segala kandungan dibawakan oleh tim kami yang pernah menghasilkan kartun seperti Didi & Friends, Omar & Hana dan sebagainya.
“Anda semua sudah boleh muat turun aplikasi Durioo+ ini di Google Playstore dan boleh warwarkan kepada orang ramai,” katanya dalam Showcase Amal Kita Adalah Satu yang berlangsung semalam.
Inisiatif Durioo+ yang diasaskan Sinan berpegang pada prinsip menghasilkan siri animasi kanak-kanak Islamik bagi pasaran dunia.
Pada zaman maju dan canggih ini, kanak-kanak juga tidak ketinggalan untuk menggunakan kemudahan telefon pintar sehingga menjadi ketagih dan tidak terkawal oleh para ibu bapa.
Tindakan terbabit mendedahkan anak mereka kepada kandungan lucah dan negatif sekiranya tiada kawalan dan pemantauan ibu bapa.
Di Durioo+ masalah itu tidak ada dan kanak-kanak hanya akan menikmati kandungan bercirikan islamik yang berkualiti tinggi.