Batal puasa jika berbuka lebih awal sebab kesilapan azan di radio – Dr Zulkifli

PUTRAJAYA : Berbuka puasa lebih awal daripada waktu Maghrib adalah dianggap batal dan perlu diganti balik selepas Ramadan.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerangkan perkara tersebut menerusi satu hantaran berbentuk infografik di laman Facebook rasminya.
“Tidak sah dan batal puasa individu yang menyangka telah pun tenggelam matahari tetapi ia belum lagi tenggelam. Wajib diqada semula menurut jumhur ulama,” katanya ringkas.
Persoalan tersebut timbul berikutan isu kesilapan stesen radio tempatan yang secara tidak sengaja memainkan azan lebih awal dari waktunya.
Terdahulu, penyampai radio Tawau FM, Mohd. Safwan Junit memohon maaf secara terbuka dan bertanggungjawab mengendalikan siaran Syoknya Hujung Minggu ketika insiden tersebut semalam.
Kesilapan teknikal tidak dijangka pada hari pertama Ramadan itu menyaksikan dia memasang azan itu dua kali iaitu pada 6.16 petang sebelum diulang ketika waktu sebenar 6.20 petang.