Baru dilancarkan, Portal aduan buli terima 19 kes
Oleh Khairulanwar Dahlan – Wartawan Pelatih Ummah Today
Belum sampai seminggu portal aduan buli yang dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan menerima 19 aduan berkaitan buli.
Berita berkaitan: Kementerian Pendidikan Malaysia lancar Portal Aduan Buli
Hal ini didedahkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin yang kini pihaknya sedang meneliti sebelum mengambil sebarang tindakan.
“Berdasarkan portal tersebut, kita mempunyai tiga platform untuk membuat sebarang aduan, iaitu menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA) kita terima sebanyak 16 aduan.
“Kita tidak menerima sebarang aduan daripada e-mel. Selain itu, kita menerima lima panggilan telepon namun kesemuanya bertanyakan berkaitan dengan portal berkenaan.
Manakala platform lain adalah menerusi aplikasi Whatsapp iaitu terdapat pertanyaan berkaitan portal dengan tiga lagi adalah aduan buli” – kongsi Datuk Dr Radzi Jidin
Radzi mendedahkan perkara tersebut kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Platform Pembelajaran Digital atau Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DeLima), di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 (1).
Namun menurut Radzi pihaknya tidak mempunyai maklumat berkaitan negeri yang paling banyak kes atau sama ada sekolah bandar ataupun sekolah luar bandar.
“Apa yang kita pentingkan, apabila kita menerima aduan itu kita akan membuat penelitian yang mendalam bagi mengambil tindakan sewajarnya.
“Ini kerana bagi kementerian, sama ada kes tersebut berlaku di luar bandar atau bandar, di sekolah asrama atau tidak, semuanya kita akan buat penelitian. Jadi kita tidak akan menganaktirikan mana-mana sekolah.
“Apa yang paling penting adalah maklumat (aduan) itu sampai pada kementerian secepat mungkin untuk kita tangani kes berkenaan” ujar Radzi
Kementerian sebelum ini telah melancarkan portal aduan buli bagi membolehkan aduan mengenai kes buli di sekolah dilaporkan secara terus kepada KPM.
Portal ini boleh diakses di laman sesawang https://www.moe.gov.my/aduanbuli itu menyediakan 3 saluran bagi orang awam, mangsa, ibu bapa atau penjaga melaporkan sebarang kejadian buli di sekolah.
Saluran berkenaan adalah melalui talian khas aduan buli (03-88849352), emel (adubuli@moe.gov.my) atau aduan SISPA KPM yang tersedia di portal aduan itu.