Bapa terkilan parkir OKU disalah guna
“Nak, ada kala orang akan ambil kesempatan atas kelemahan kita nak. Kita kena pertahankan hak kita.”
Demikian luahan seorang bapa yang terkilan apabila melihat tempat letak kenderaan yang dikhaskan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) diguna pakai oleh pemandu kenderaan yang sihat fizikal dan mentalnya.
Hantaran yang dimuat naik oleh Isma Nizam Norahman di Facebook, menceritakan situasi yang dihadapinya ketika ingin membawa cahaya mata istimewa berjalan di sekitar taman.
Namun, sampai sahaja di taman rekreasi, beliau terkilan apabila melihat kesemua tempat letak kenderaan penuh termasuklah parkir yang dikhaskan untuk OKU.
Lebih mendukacitakan, apabila tapak khas tersebut disalah guna menjadi tapak berniaga.
Di manakah rasa sikap empati masyarakat Malaysia kini?
Adakah pendidikan di sekolah tidak cukup untuk mendidik Sivik dan nilai moral dalam setiap individu?
Sekaligus, UmmahToday mendapatkan jawapan daripada Isma Nizam selaku ibu bapa kepada anak OKU yang berdepan dengan mentaliti kelas ketiga rakyat Malaysia ini.
Ujar Isma, situasi sebegini tidaklah mudah buat penjaga OKU dan OKU itu sendiri apabila kemudahan yang telah disediakan, dirampas mereka yang tidak sepatutnya.
“Keadaan begini amat sulit kepada ibu bapa OKU secara amnnya dan kepada OKU itu sendiri khasnya.
“Ramai ibu bapa dan OKU sangat kecewa dengan perkara ini sebab sudah lama berlaku dan berlarutan. Sukar untuk kami sebagai minoriti ingin bersuara. Jarang suara kami di dengar.” luah Isma.
Tindakan ‘biadap’ dan tidak berperikemanusiaan seperti peniaga dan pemandu lori tersebut lebih terserlah apabila ditegur, mereka hanya memberi muka ‘sepuluh sen’.
“Masa saya nak balik, lori tidak beralih. Siap parkir van lagi dekat petak kosong OKU tepi kereta saya.
“Reaksi mereka? Buat selamba dan pergi macam itu sahaja.” katanya.
Bukan itu sahaja, ketika mereka ingin pulang, sebuah lori meminta Isma untuk mengalihkan kenderaan di parkir khas OKU untuk meletakkan van berniaga.
Cukup terkejut Isma melihat sikap peniaga tersebut.
Berdepan dengan sikap sebegini, Isma mengharapkan agar pihak penguasa untuk lebih tegas dengan menjalankan pindaan akta dan peraturan yang jelas demi mempertahankan hak OKU.
“Pindaan akta dan peraturan juga perlu untuk kebaikan ibu bapa dan juga OKU itu sendiri. Kalau tidak, sampai bila-bila perkara ini tidak akan selesai.” katanya kepada UmmahToday.
Pada masa kini, pihak berkuasa tempatan (PBT) seharusnya bersama-sama berganding bahu mewujudkan tindakan yang sewajarnya seperti memasang papan tanda nilai denda bagi kesalahan menceroboh hak OKU agar masyarakat lebih peka dan takut.
Selain itu, sebagai rakyat Malaysia yang dikurniakan akal fikiran yang sihat dan cerdas, lahirkan perasaan berperikemanusiaan dan sifat ihsan terhadap sesuatu.
Janganlah dek fikir memudahkan urusan sendiri sampai alpa sifat hakiki manusia iaitu simpati dan empati.
Dalam Islam, Allah SWT turut menegaskan umat manusia untuk bersikap Ihsan iaitu bukan sahaja memelihara hubungan baik dengan Allah semata-mata, tetapi ia juga merangkumi aspek perbuatan dan perlakuan sesama manusia.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mewajibkan berihsan (menyempurnakan sesuatu dengan baik) dalam semua perkara.” (Hadis riwayat Muslim)