Semasa

Banyak bantuan akan disalurkan selepas BKC – PM

PUTRAJAYA: Ketika pembayaran Bantuan Khas COVID-19 (BKC) mula disalurkan hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata lebih banyak bantuan akan disalurkan kerajaan kepada rakyat bermula bulan depan.

Dalam sidang video bersama warga Bank Simpanan Nasional (BSN) dari kediamannya di Petaling Jaya khusus bagi meninjau proses pembayaran BKC yang bermula hari ini, Ismail Sabri berkata BKC adalah antara bantuan bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19.

“Harap semua proses pembayaran BKC yang dirancang Kementerian Kewangan berjalan lancar. Semoga tiada perkara tidak diingini berlaku yang boleh sebabkan kelewatan dan sebagainya,” katanya.

Ismail Sabri yang masih menjalani kuarantin kendiri sejak 30 Ogos lalu setelah disahkan kontak rapat pesakit COVID-19 turut menasihatkan warga BSN supaya memastikan penerima BKC yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan COVID-19.

Turut serta dalam sidang video ialah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berada di BSN Putrajaya di sini dan Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah yang berada di BSN di Bera, Pahang.

“Semoga apa yang diberikan kerajaan hari ini, walaupun mungkin tidak begitu besar tetapi sekurang-kurangnya dapat bantu mengurangkan perbelanjaan ketika ini,” kata Ismail Sabri yang turut merujuk makluman Tengku Zafrul bahawa banyak lagi bantuan akan diberikan kepada rakyat.

Pada Rabu, Ismail Sabri mengumumkan BKC akan dibayar secara berperingkat dengan bayaran fasa satu dikreditkan mulai 6 September dan dijangka selesai pada 10 September, dengan dana berjumlah RM3.1 bilion telah disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan untuk pembayaran BKC.

BKC layak diterima golongan miskin tegar dan B40 dengan jumlah pendapatan RM5,000 dan ke bawah untuk isi rumah dan warga emas, serta bujang dengan pendapatan RM2,500 dan ke bawah, berdasarkan kriteria kelayakan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR 2021).

Golongan M40 yang melaporkan cukai pendapatan dengan jumlah pendapatan RM5,001 hingga RM9,000 untuk isi rumah dan RM2,501 hingga RM5,000 untuk bujang juga layak menerima BKC.

Di bawah BKC, kategori miskin tegar, isi rumah akan menerima RM1,300; warga emas sebatang kara (RM500) dan bujang (RM500). Bagi kategori B40, isi rumah akan menerima RM800, warga emas sebatang kara (RM200) dan bujang (RM200); manakala kategori M40, isi rumah menerima RM250, warga emas sebatang kara (RM100) dan bujang (RM100).

Semakan status BKC boleh dibuat melalui portalĀ https://bkc.hasil.gov.my

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan akan mengagihkan pelbagai bentuk bantuan yang dirancang sehingga hujung tahun ini.

“Perdana Menteri bersetuju untuk teruskan bantuan-bantuan yang diumumkan,” katanya.

Antara bantuan yang akan diagihkan kerajaan ialah Bantuan Prihatin Rakyat fasa 3 berjumlah RM2.32 bilion yang akan disalurkan pada akhir bulan ini dan bantuan kehilangan pendapatan pada Oktober.

Mengenai proses pembayaran BKC di BSN Putrajaya, Tengku Zafrul berkata ia dikendalikan dengan baik oleh warga BSN. ā€“ BERNAMA

Related Articles

Back to top button