Bantuan makanan musim sejuk bantu haiwan terbiar, hidupan liar di Turki terus hidup
ANKARA : Keadaan musim sejuk yang melampau sehingga menyebabkan orang ramai terkandas di jalan raya di seluruh Turki dan mencabar nasib gelandangan, turut menjejaskan haiwan terbiar serta burung yang tinggal di kawasan terbuka.
Apabila salji menyeliputi tanah, akses mereka kepada makanan dan air menjadi berkurangan dengan ketara.
Pada masa ini, semua orang, termasuk pencinta haiwan bertindak sendiri bersama kerajaan serta badan amal yang berusaha bagi memastikan mereka hidup, menghantar makanan ke kawasan terpencil serta meninggalkannya di jalan-jalan bandar besar di mana anjing dan kucing bergelut untuk terus hidup.
Kementerian Pertanian dan Perhutanan berada di barisan hadapan dalam melaksanakan usaha tersebut. Sejak Disember lalu, kru kementerian telah menghantar kira-kira 330 tan makanan untuk haiwan liar dan burung ke seluruh negara.
Menteri Pertanian dan Perhutanan Bekir Pakdemirli sendiri menghantar bekalan ke kawasan luar bandar daerah Beypazarı di ibu negara Ankara.
Keadaan haiwan liar sentiasa dipantau melalui kamera yang dipasang di habitat mereka dan kru sentiasa menambah stok makanan mereka.
Di sesetengah tempat, seperti taman negara di wilayah tengah Kayseri, dron digunakan untuk menentukan lokasi sebenar haiwan liar, seperti kambing gunung, untuk menghantar makanan.
Di wilayah timur Muş, di mana lapisan salji setebal kira-kira 80 sentimeter (31.4 inci) meliputi wilayah itu, burung menemui ‘syurga’ di sebuah kilang yang menghasilkan makanan haiwan.
Pada Rabu, sekumpulan besar burung “mengepung” kilang itu, yang pemilik dan kakitangannya meninggalkan makanan burung di luar.
“Burung merpati datang ke sini setiap musim sejuk, dan kami memberi mereka bijirin dan jagung,” kata pemilik kilang Salih Dalkaya kepada Agensi Berita Demirören (DHA).
Pihak berkuasa juga berusaha untuk menyediakan perlindungan kepada haiwan yang terjejas akibat cuaca sejuk.
Di wilayah timur Bingöl, beberapa ekor keldai yang cedera ditinggalkan pemiliknya, telah ditempatkan di kandang selepas mereka ditemui menggigil kesejukan dan dikhuatiri maut di sebuah kampung.
-AGENSI