BanjirSemasa

Banjir – Raja dan rakyat berpisah tiada!

Cemar duli redah air santuni mangsa banjir

PAHANG : [VIDEO] Kelibatnya bersama-sama mangsa banjir bukan sahaja mendekatkan rakyat, malah apabila mencemar duli singgah di mana-manapun perhentian bersapa dengan rakyat,  mengekalkan tradisi `Raja Berjiwa Rakyat’ yang disenangi oleh setiap warga Malaysia, tidak mengenal kaum.

Gelagat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sentiasa ada sahaja yang hendak ditanyakan kepada rakyat, terutama yang hilang punca bukan sahaja kerana harta benda yang ghaib dalam sekelip mata dihanyut bah namun juga kehilangan nyawa yang kekal selama-lamanya.

Dari hari pertama banjir, kesungguhan Seri Paduka Baginda terlihat apabila baginda sendiri memandu pacuan empat roda, sambil diselitkan kata-kata semangat Raja Permaisuri di sisi.

Al-Sultan Abdullah memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda meredah banjir di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1).

Kemudian disusuli tinjauan baginda dari udara apabila Seri Paduka Baginda menaiki pesawat EC725 berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Kuantan, diiringi Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 7 Januari.

Bersampan sendiri juga bersama keluarga demi menghadirkan diri dengan kesukaran mangsa banjir berkenan berjalan kaki meredah banjir untuk meninjau situasi banjir di Kampung Lamir, Pekan, Pahang.

Sikap keprihatinan Baginda dan Permaisuri terserlah sehinggalah ke hari ini apabila kedua-duanya menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk meninjau situasi banjir di Kampung Temai, Pekan, Pahang hari ini.

Malah, baginda berdua pada hari ini (14 Jan) turut berkenan melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Temai dan meluangkan masa menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan.

Istana Negara dalam satu kenyataan di Facebook rasmi memaklumkan, dalam lawatan itu,
Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir bagi meringankan beban yang ditanggung akibat bencana banjir.

 

FOTO Facebook Istana Negara

“Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan meneruskan lawatan ke beberapa kampung sekitar Pekan, Pahang yang dilanda bencana banjir.

“Turut mengiring, anakanda Seri Paduka Baginda berdua, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah,” katanya.

Menurut kenyataan Istana Negara, keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua ini mencerminkan keperibadian dan keprihatinan tinggi baginda terhadap mangsa banjir yang memerlukan bantuan.

“Seri Paduka Baginda berdua mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan supaya bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan,” – Istana Negara

Memetik pandangan Penganalisis Politik,  Profesor Dr Sivamurugan Pandian dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, mekanisme raja berperlembagaan sebagai lambang penyatuan dan konsep patriotisme raja berperlembagaan sesuai dengan kerangka kedudukan institusi diraja sebagai pelindung dalam memastikan simpulan ikatan raja dan rakyat sentiasa dipertahankan dalam apa jua keadaan.

Tambahnya, benteng ‘pelindung’ di bawah spektrum institusi Raja-Raja ini amat signifikan jika dihalusi dandiperincikan kedudukan tersebut dalam suasana rakyat mencari tempat berteduh dengan pemimpin yang membimbingnya.

“Di bawah Yang DiPertuan Agung dan Raja Permaisuri Agung hari ini, keperibadian dan ketokohan mencakupi segala bidang memberi satu gambaran baru ke atas institusi ini tanpa memberi keutamaan pada darjat dan pangkat serta kedudukan; memenuhi aspirasi kepada keteguhan institusi yang menunjangi kedaulatan tanah air.” – Penganalisis Politik,  Profesor Dr Sivamurugan Pandian

“Raja dan Rakyat berpisah tiada”   

DAULAT TUANKU!

 

 

 

 

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button