BanjirDomestikSemasa

Banjir: Orang Ramai Diingatkan Utamakan Keselamatan Elektrik dan Gas Ketika Musim Banjir

PUTRAJAYA, 16 Oktober – Suruhanjaya Tenaga (ST) mengingatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan elektrik serta gas semasa musim banjir. Ini berikutan pelbagai risiko yang boleh timbul, antaranya tiang elektrik tumbang, talian elektrik terputus, dan kerosakan pada peralatan elektrik dan gas.

Dalam kenyataannya, ST menekankan pentingnya langkah-langkah pengawasan diambil sebelum, semasa, dan selepas banjir bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Sebelum Banjir:
Sekiranya diarahkan berpindah, orang ramai perlu memastikan semua peralatan elektrik disimpan di tempat yang tinggi dan selamat daripada ditenggelami air. Selain itu, suis utama di papan agihan elektrik mesti dimatikan. ST juga mengingatkan agar pepasangan elektrik yang disambung secara berasingan, seperti solar PV atau pagar elektrik, turut dimatikan. Bagi keselamatan gas, injap silinder gas atau gas berpaip perlu ditutup.

Semasa Banjir:
Orang ramai dinasihatkan mengelak kawasan yang mempunyai talian atau pepasangan elektrik yang ditenggelami air, termasuk pencawang dan bilik suis elektrik. Tiang atau struktur elektrik juga tidak harus disentuh. Jika terdapat tiang elektrik tumbang atau talian terputus, orang ramai harus segera melaporkannya kepada pihak utiliti elektrik dan tidak cuba mengalihkan sendiri.

Selepas Banjir:
ST menasihatkan agar suis utama di papan agihan elektrik dan injap saluran gas berada dalam keadaan ‘OFF’ (ditutup) sebelum kerja-kerja pembersihan dimulakan. Sebelum menghidupkan suis utama, pastikan semua peralatan elektrik berada dalam keadaan baik dan kering. Orang ramai juga perlu berhati-hati semasa menjalankan aktiviti pembersihan di kawasan yang berdekatan dengan pepasangan elektrik dan saluran gas berpaip.

ST turut mengingatkan agar tidak menggunakan peralatan elektrik dan gas yang diragui keselamatannya. Jika ada keraguan, perkhidmatan kontraktor elektrik atau gas yang berdaftar dengan suruhanjaya perlu digunakan untuk memeriksa sistem.

Sebagai langkah tambahan, ST menggalakkan orang ramai menyimpan nombor kecemasan seperti balai polis, bomba, hospital, dan syarikat utiliti berhampiran bagi menghadapi sebarang situasi darurat semasa musim banjir.

SUMBER: Metro

Related Articles

Back to top button