Derna – Petugas kecemasan menemui ratusan mayat dalam runtuhan di bandar Derna di timur Libya, dan dikhuatiri jumlah korban akan meningkat, dengan 10,000 orang masih dilaporkan hilang selepas banjir daripada Ribut Daniel memusnahkan empangan dan menenggelamkan sebahagian Derna.
Lebih 1,000 mayat telah dikumpulkan, termasuk sekurang-kurangnya 700 yang telah dikebumikan setakat ini, kata menteri kesihatan untuk timur Libya.
Satu rakaman menunjukkan puluhan mayat yang ditutup berada di pekarangan sebuah hospital. Satu imej pula menunjukkan kubur besar yang sedia dikambus. Separuh daripada ribuan korban telah dikebumikan pada petang Selasa, kata menteri kesihatan untuk timur Libya.
Kemusnahan berlaku di Derna dan bahagian lain di timur Libya pada malam Ahad. Ketika Ribut Daniel menghentam pantai. Penduduk Derna berkata mereka mendengar letupan kuat dan menyedari bahawa empangan telah runtuh.
Bantuan luar baru mula sampai ke Derna pada hari Selasa, lebih 36 jam selepas bencana itu berlaku. Banjir itu merosak dan memusnahkan banyak jalan masuk ke bandar pesisir pantai yang didiami kira-kira 89,000 orang.
Timbalan Datuk Bandar Derna, Ahmed Madroud, memberitahu Al Jazeera, “Sekurang-kurangnya 20 peratus daripada bandar itu telah musnah.”
Beliau berkata punca di sebalik kemusnahan itu adalah berkaitan infrastruktur yang lemah di bandar dan banyak bangunan berada di jalan sempit yang terletak berhampiran dengan sungai.
“Apabila sungai itu melimpahi tebingnya, ia membawa semua bangunan bersamanya, dan keluarga yang berada di dalamnya,” katanya.
Pada hari Selasa, petugas kecemasan tempatan, termasuk tentera, pekerja kerajaan, sukarelawan dan penduduk menggali runtuhan mencari mayat. Mereka juga menggunakan bot getah bagi mengambil mayat korban dari air.
Emaduldin Bileid dari Al Jazeera berkata ratusan sukarelawan dari barat Libya sedang menuju ke timur negara itu untuk memberikan bantuan, manakala rakyat sedang mengumpul bantuan untuk Derna.
Selepas lebih sedekad pergolakan, Libya kekal dibahagikan antara dua pentadbiran yang bersaing: satu di barat dan satu lagi di timur, masing-masing disokong oleh militia dan kerajaan asing yang berbeza.
Gilles Carbonnier, naib presiden Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah, memberitahu Al Jazeera situasi di timur Libya “sangat teruk”.
“Beratus-ratus dan ratusan orang mungkin telah mati, ribuan lagi terjejas, orang hilang,” katanya.
SUMBER : AL JAZEERA DAN AGENSI BERITA