Jam 2.30 pagi dan keadaan gelap di luar. Husam Abdelgawi, seorang akauntan berusia 31 tahun di bandar Derna, bangun dan turun ke bawah dengan keadaan mengantuk untuk memeriksa bunyi anjing yang menyalak, dan kemudian dia merasakan air di bawah kakinya.
Husam membuka pintu depan rumah yang dikongsi bersama adiknya, Ibrahim. Air deras menolak masuk, menarik pintu daripada engselnya.
Dia dan adiknya berlari ke pintu belakang, di mana mereka diperlihatkan dengan, “Pemandangan ngeri yang tidak dapat dibayangkan, lebih teruk daripada kematian untuk disaksikan,” kata Husam, dalam temu bual telefon dari kota Al-Qubbah.
“Mayat wanita dan kanak-kanak terapung melepasi kami. Kereta dan seluruh rumah hanyut dibawa arus. Beberapa mayat dihanyutkan air ke dalam rumah kami.”
Air turut menghanyutkan Husam dan Ibrahim, membawa mereka lebih jauh dan lebih cepat daripada yang mereka bayangkan. Dalam beberapa saat, mereka hanyut dalam jarak 150m.
Ibrahim, 28, berjaya mencengkam kabel elektrik yang masih terikat pada tiangnya dan bergelut kembali ke tempat Husam tersepit. Mereka menggunakan kabel itu untuk menarik diri mereka ke bangunan berhampiran dan masuk melalui tingkap di tingkat tiga.
Dari situ mereka berjaya ke bumbung tingkat lima di mana mereka menunggu banjir reda.
“Kawasan di mana kami berada adalah bahagian yang lebih tinggi di bandar itu,” kata Husam. “Di bahagian bawah, saya tidak fikir sesiapa di tingkat lima atau empat akan terselamat. Saya rasa mereka semua sudah mati. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka.”
Banjir itu dicetuskan oleh pecahnya dua empangan di luar Derna, yang melepaskan air deras sehingga pusat bandar.
“Derna terbelah dua akibat air deras dan segala-galanya telah hilang,” kata Rahma Ben Khayal, seorang pelajar berusia 18 tahun yang selamat berada di atas bumbung.
Air deras yang menghanyutkan seluruh jalan telah bermula sehari sebelumnya, sebagai hujan renyai.
Pada mulanya ia tidak menakutkan, kata Amna Al Ameen Absais, seorang pelajar perubatan berusia 23 tahun yang dilahirkan dan dibesarkan di Derna, yang menjadi penjaga kepada tiga adiknya berikutan kematian kedua ibu bapanya akibat sakit.
Ketika titisan hujan bergendang di luar, empat beradik itu berada di apartmen tingkat satu mereka di Beach Towers, sebuah bangunan tujuh tingkat bersebelahan dengan pantai Mereka bermain dan asyik menatal telefon mereka. Mereka memakaikan adik lelakinya dengan jaket keselamatan dan ketawa.
Tetapi apabila malam Ahad berlalu, hujan semakin lebat. Siren berbunyi. Mereka tidak boleh tidur.
“Ia benar-benar bermula kira-kira 2.30 pagi,” kata Amna, dalam temu bual telefon dari bandar Tobruk berhampiran. “Bunyi semakin kuat. Abang saya kata dia nampak air menutup jalan.”
Apabila air naik, jiran-jiran mula naik ke tingkat atas. Amna meraih kucingnya dan empat pasport dan mereka naik dari tingkat satu ke tingkat tiga.
“Orang ramai melihat ke luar ke dalam gelap, berdoa,” katanya. Kemudian air sampai ke tingkat tiga. “Semua orang mula menjerit. Kami naik lagi ke tingkat lima dan akhirnya naik ke tingkat tujuh.”
Keadaan semakin panik. “Saya kehilangan kucing itu,” kata Amna. “Adik lelaki saya sempat hilang sekejap sebelum saya menemuinya kembali. Saya sedar kami tidak boleh tinggal di tingkat tujuh pun, kami terpaksa pergi ke bumbung.”
Dari situ, mereka dapat melihat jiran di atas bumbung bangunan tiga tingkat bertentangan, termasuk sebuah keluarga kenalan mereka. Jiran-jiran melambaikan lampu telefon mereka. Beberapa saat kemudian, seluruh bangunan mereka runtuh ke dalam air di dalam gelap.
“Rasanya seperti gempa bumi,” kata Amna. “Keluarga itu masih belum ditemui. Anak mereka sedang mencari mereka. Kami memberitahunya kami melihat bangunan mereka runtuh di depan mata kami.”
Sebahagian keluarga Amna sendiri juga hilang. Bapa saudara dan isterinya serta tiga anak lelaki mereka tinggal di bangunan berhampiran yang turut runtuh.
“Panggilan terakhir kami adalah kira-kira jam 9 malam, dia menelefon untuk memastikan kami OK,” katanya. “Kami tidak mendengar khabar daripadanya sejak itu.”
Akhirnya, Amna turun dari bangunan itu bersama ketiga-tiga adik beradiknya, selepas air banjir surut. Jalannya telah hilang sepenuhnya.
“Ia seperti bumi telah terbelah,” katanya. “Hanya satu lorong jalan yang tinggal.”
Jiran yang dikenalinya tergelincir dan hilang ke dalam air di hadapan mereka, suami dan anaknya tidak dapat menyelamatkannya, kata Amna.
Amna dan adik-beradiknya berjalan berjam-jam ke tempat yang lebih tinggi, melewati banyak mayat semasa dalam perjalanan.
Angka kematian akibat malapetaka itu nampaknya akan meningkat. Husam Abdelgawi, akauntan, berkata dia sudah mengira sekurang-kurangnya 30 rakannya mati, dan lebih 200 kenalan ikut terkorban.
“Ia adalah satu keajaiban yang saya terselamat,” katanya.
Kerosakan kepada Derna adalah suatu malapetaka. Seluruh kawasan telah musnah.
Mohamed al-Menfi dari kerajaan Libya yang diiktiraf di peringkat antarabangsa di bandar barat Tripoli berkata beliau telah meminta peguam negara untuk menyiasat – sesiapa yang harus bertanggungjawab atas keruntuhan empangan itu.
Pertubuhan Meteorologi Sedunia berkata kehilangan nyawa yang besar boleh dicegah jika Libya mempunyai agensi cuaca yang berfungsi – “Mereka boleh mengeluarkan amaran. Pihak berkuasa pengurusan kecemasan akan dapat melakukan pemindahan orang ramai. Dan kita boleh mengelak daripada korban manusia,” kata ketua WMO Petteri Taalashe.
Ramai mangsa yang terselamat sedang menunggu berita tentang orang tersayang. Yang lain berkabung, untuk orang terkorban dan untuk Derna.
“Saya rasa saya tidak boleh kembali,” kata Amna. “Saya melalui jalan-jalan itu di sepanjang hidup saya. Kami tahu setiap sudut bandar. Sekarang ia telah tiada.”
Sumber : Riam Dalati / BBC.