Apabila Raed Qazmouz dan pasukan responden pertama Palestin tiba di Derna minggu lalu, dia terkejut dengan skala besar bencana yang melanda bandar Mediterranean itu.
Leftenan kolonel berusia 41 tahun itu adalah ketua pasukan penyelamat Agensi Kerjasama Antarabangsa Palestin (PICA), yang 35 anggotanya telah menyelesaikan misi selama seminggu di Derna pada Khamis dan dalam perjalanan pulang ke Tebing Barat.
“Kemusnahan adalah di luar imaginasi,” katanya, menggambarkan bangunan tercabut dari asasnya dan dihanyutkan ke laut.
Ini bukan misi pertama Qazmouz, kerana dia pernah mengetuai misi first respons ke Pakistan selepas banjir besar pada 2022, dan ke Turki selepas gempa bumi pada Februari. Tetapi kejutan yang dirasai di Derna oleh dia dan pasukannya – termasuk 22 pakar mencari dan menyelamat air adalah sangat berbeza.
“Orang-orang di sini memberitahu kami Derna adalah bandar paling indah di Libya,” katanya.
“Hari ini, anda berjalan melaluinya dan tidak melihat apa-apa selain lumpur, kelodak, dan rumah yang runtuh. Bau mayat ada di mana-mana, bau kematian dari laut, di mana beribu-ribu mayat yang reput telah hanyut.”
Pasukan Palestin yang tiba untuk membantu rakyat Libya mengejutkan banyak pihak, dan pasukan responden pertama ini terpaksa berjuang lebih keras daripada yang lain untuk dapat keluar dari Tebing Barat dan ke lapangan terbang antarabangsa di Jordan .
Namun mereka bertahan, kata Qazmouz, kerana kepercayaan kepada prinsip kemanusiaan dan keperluan untuk memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan, tanpa mengira jantina, agama atau bangsa.
“Apabila kami menerima panggilan meminta bantuan, kami akan jawab panggilan itu, walaupun dengan penderitaan yang kami alami sebagai rakyat Palestin yang hidup di bawah penjajahan Israel,” katanya.
PICA telah menyumbang bakti di 56 negara di seluruh Afrika, Asia, Caribbean dan Amerika Latin. Di Libya PICA membeli lebih 22 tan makanan dan bantuan kemanusiaan lain, dan menyampaikannya kepada pihak berkuasa Libya. Imad al-Zuhairi, pembantu menteri hal ehwal luar negeri dan ketua pengarah PICA, yang bersama misi itu, memberitahu Al Jazeera, “Walaupun dijajah, Palestin mampu memainkan peranannya di pentas antarabangsa. Kami dapat menyelami dengan rapat penderitaan orang lain, memandangkan kami hidup di bawah pendudukan israel dan dasar-dasarnya.”
Qazmouz berkata perjalanan mereka terhalang oleh kekurangan penerbangan terus dan misi itu ditangguhkan beberapa hari memandangkan masa perjalanan keseluruhan mereka melebihi 30 jam. Tetapi mereka gembira kerana berjaya pada akhirnya.
“Jika kami mempunyai lapangan terbang atau pelabuhan, kami boleh berada di sana dalam beberapa jam,” katanya, sambil menambah bahawa pasukan antarabangsa lain boleh pergi terus ke lapangan terbang mereka dengan semua peralatan dan bekalan mereka.
Rakyat Palestin di Tebing Barat dilarang oleh israel daripada menggunakan mana-mana lapangan terbangnya dan perlu menyeberangi sempadan darat yang dikawal israel dengan Jordan, memandu ke ibu negara Amman, dan terbang keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia.
Sumber : Al Jazeera