BanjirDomestikSemasa

Banjir landa Kuala Krai, hujan lebat sejak semalam

KOTA BHARU: Beberapa kampung sekitar Kuala Krai, dekat sini dinaiki banjir asbab hujan lebat sejak semalam.

Susulan itu, sebuah pusat pemindahan sementara kini dibuka.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pusat pemindahan pertama yang dibuka di Masjid Lama Keroh, Kuala Krai sehingga kini, menempatkan 24 mangsa daripada lapan keluarga.

Dalam pusat pemindahan itu, menempatkan mangsa banjir terbabit, sembilan lelaki dewasa dan 10 wanita dewasa, selain tiga kanak-kanak dan dua bayi.

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my, menyatakan sehingga jam 3 petang ini, dua sungai utama melebihi paras bahaya iaitu Sungai Jenob di Tanah Merah dan Sungai Lebir di Kampung Tualang di Kuala Krai masing-masing dengan bacaan 25.19 meter (m) dan 36.88 m.

Sungai Nal di Kuala Krai (24.76 m), Sungai Kelantan di Kampung Temangan Machang (15.54 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (8.06 meter), masing-masing merupakan tiga sungai lagi melebihi paras amaran.

Selain itu, Sungai Sungai Lebir di Kampung Karangan, Kuala Krai (28.45 m), Sungai Kelantan di Kuala Krai (22.09 m) dan Sungai Kelantan di Kampung Kusial, Tanah Merah (12.35 m), masing-masing merupakan tiga sungai berada pada paras waspada.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Zainal Madasin berkata, kini, atur gerak bagi membantu mangsa banjir melibatkan pihaknya bersama pasukan keselamatan lain termasuk Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Katanya, selain Kuala Krai, beberapa daerah lain termasuk Kota Bharu, Jeli dan Tanah Merah turut diberi perhatian oleh pihaknya.

“Keadaan hujan berserta angin akan menyebabkan kawasan rendah mudah dinaiki air dan kita menasihatkan semua penduduk terjejas membuat persediaan dan berwaspada,” katanya ketika dihubungi.

– AGENSI

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

 

Related Articles

Back to top button