PAGOH: Meskipun banjir melanda daerah ini sudah memasuki hari ke-7, namun lebih 1,000 penduduk beberapa kampung masih terputus hubungan susulan paras air yang masih belum surut sepenuhnya di kawasan berkenaan.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan penduduk yang terlibat berikutan kediaman mereka ibarat pulau dan sekali gus terputus hubungan dan hanya mengharapkan ihsan orang ramai serta agensi berkaitan untuk menghantar bantuan bekalan makanan.
Seorang mangsa banjir yang masih mengungsi di Pusat Penempatan Sementara (PPS) SK Gombang, Muhammad Haris, 37, berkata, jalan rumahnya terputus hubungan menyebabkan dia terpaksa membawa seluruh ahli keluarganya berpindah ke PPS walaupun anak sulungnya baharu sahaja berkhatan seminggu lalu.
“Pada mulanya saya menjangkakan air tak naik di sekeliling rumah, memandangkan hujan tidak berhenti, paras air terus naik jadi saya bertindak segera pindah supaya tidak kelam kabut. Kita dah nak berpuasa beberapa hari lagi, harapnya air cepat surut. Takkan kami nak berpuasa di PPS,” keluhnya ketika ditemubual Ummah Today.
Situasi berbeza dihadapi ibu tunggal, Siti Habsiah Hashim, 65, dia bersama 2 anaknya agak panik menyelamatkan perabot dan peralatan elektrik di rumah ketika air mula naik.
“saya termenung melihat perabot yang tenggelam, tak sempat nak angkat lebih tinggi. Cepatlah harapnya air surut, banyak nak kena bersihkan tu. Tak berapa hari lagi dah nak puasa,” adunya kepada aktivis MAPIM Malaysia ketika ditemubual di PPS SK Gombang.
Aktivis MAPIM Malaysia bersama sukarelawan pacuan empat roda 4×4 MAPIM Rangers yang menyantuni mangsa banjir di Muar serta Segamat termasuk menziarah penduduk kampung setempat telah menyerahkan sebanyak 200 kotak bantuan serta tambahan 100 kotak makanan lagi hasil sumbangan Al Khair Foundation dan Yayasan MyPrihatin pada Sabtu.
Seterusnya, pada hari ini (Ahad) tim akan bergerak ke lokasi banjir di Batu Pahat bagi menyantuni mangsa bencana yang diuji di sana.
BACA JUGA
GISBH manfaatkan MAPIM Mobile Kitchen bantu ummah di Johor
MAPIM Malaysia dengan rendah hati merayu orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan musibah banjir serta menyokong kelangsungan misi bantuan kemanusiaan kami.
Sumbangan infaq boleh disalurkan menerusi
Akaun Maybank
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
562263540066