BATU PAHAT: Banjir yang melanda daerah Batu Pahat terutama di Sri Medan dan Parit Sulong disifatkan lebih buruk daripada bencana bah besar tahun 2006.
Aktivis MAPIM Malaysia bersama sukarelawan pacuan empat roda 4×4 MAPIM Rangers serta gabungan petugas GISBH yang dalam siri jelajah Misi Bantuan Johor sejak Jumaat tiba di Sri Medan pada jam 4 petang Ahad mendapati mangsa banjir di dalam keadaan terputus bekalan makanan, air dan elektrik.
Tinjauan gabungan sukarelawan MAPIM mendapati kawasan pekan Sri Medan Jaya lumpuh dengan laluan yang ditenggelami air termenung paras dada dan hanya dibuka kepada kenderaan berat dan kereta pacuan empat roda, serta beberapa rumah di Jalan Besar Sri Medan masih tenggelam.
Beberapa sukarelawan NGO turut kelihatan hadir lebih awal dalam usaha membantu mangsa banjir berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS).
Saya terpanggil melihat keadaan di Sri Medan kerana di kawasan ini pertama kali dinaiki air selepas lebih 15 tahun.
Perasaan sebak saya ini tidak boleh digambarkan. Saya sempat menyelamatkan seorang ibu dan anak kecil yang dalam kesejukkan. Mereka terpaksa menyelamatkan diri dalam keadaan sehelai sepinggang,” kata Haslin, yang mewakili NGO suara Anak Muda Batu Pahat kepada Ummah Today.
Di lokasi Sri Medan, tim gabungan sukarelawan MAPIM bertindak menyediakan masakan panas melalui inisiatif MAPIM Mobile Kitchen kepada orang awam, frontliners dan sukarelawan yang berpenat lelah berkhidmat untuk penduduk setempat.
Seramai lebih 350 orang telah menerima manfaat dengan kehadiran gabungan sukarelawan MAPIM melalui inisiatif MAPIM Mobile Kitchen di Sri Medan.
Hidangan nasi berlauk diproses, dimasak dan dipek di dalam MAPIM Mobile Kitchen untuk diedarkan sehingga kira-kira 8 malam.
Ahli Pengarah Komuniti Nelayan Batu Pahat, Syukor bin Jaafar memuji inisiatif yang dibawa melalui MAPIM Mobile Kitchen dan bersyukur komuniti setempat dapat bergabung tenaga dalam pelbagai bentuk bantuan kemanusiaan ketika penduduk di Sri Medan kini sedang berhadapan dengan ujian bencana.
Asbab terjadinya musibah banjir ini, komuniti kita bersatu hati untuk mencurahkan semula bakti kepada penduduk setempat.
Apa guna kelebihan yang Allah SWT berikan jika tidak menyumbang semula kepada mereka yang memerlukan. Pada hari ini apa yang saya nampak pihak MAPIM Malaysia, MAPIM Rangers & petugas GISBH hadir dengan membawa makanan panas dan itu merupakan kepakaran anda. Kami sebagai nelayan pula, permukaan air ini telah menjadi asam garam buat kami. Maka dengan itu, kami sedar inilah peluang kami untuk berbakti kepada masyarakat.
Dan Alhamdulillah saya bersama tim berjaya menyelamatkan beberapa mangsa yang terperangkap di kediaman mereka sewaktu air mula naik ke paras pinggang,” cerita Syukor berkongsi pengalaman.
Difahamkan, hari ini (Isnin) tim aktivis MAPIM Malaysia bersama sukarelawan pacuan empat roda 4×4 MAPIM Rangers dan petugas GISBH meneruskan khidmat mereka dengan membuat penghantaran kotak bantuan makanan ke rumah-rumah mangsa banjir yang terputus hubungan di sekitar Batu Pahat.
BACA JUGA
Terputus hubungan, penduduk bimbang air masih termenung menjelang Ramadan
MAPIM Malaysia dengan rendah hati merayu orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan musibah banjir serta menyokong kelangsungan misi bantuan kemanusiaan kami.
Sumbangan infaq boleh disalurkan menerusi
Akaun Maybank
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
562263540066