Bajet 2023 dirangka untuk kesejahteraan rakyat – PM
Oleh Khairulanwar Dahlan- Wartawan Pelatih Ummah Today
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mewakili kerajaan menyatakan bahawa kerajaan akan memastikan Bajet 2023 dirangka untuk kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
Menurutnya bajet 2023 itu mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi pada tahun mendatang, antara tumpuan yang diberikan adalah untuk memastikan pemulihan pasca Covid-19.
Selain itu, bajet tersebut dijangka bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat serta kelangsungan perniagaan.
“Di samping itu, dalam menghadapi ketidaktentuan global, Bajet 2023 turut memberi tumpuan kepada golongan rakyat yang memerlukan bantuan dengan menambah baik sistem perlindungan sosial serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat melalui perkhidmatan kesihatan dan pendidikan berkualiti.
“Kerajaan turut memberi tumpuan kepada persekitaran hidup yang selamat dan selesa dengan menitikberatkan pembangunan yang inklusif dan mampan agar semua ahli Keluarga Malaysia dapat menikmati manfaat pembangunan negara pada masa kini dan hadapan tanpa mengira komuniti atau tempat tinggal,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutupan pada Majlis Konsultasi Bajet 2023.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, perbincangan hari ini adalah merupakan titik permulaan kepada sesi libat urus yang lebih komprehensif untuk memperhalusi input Bajet 2023.
Ujarnya, Kementerian Kewangan akan mengadakan siri mesyuarat kumpulan fokus untuk membincangkan bidang-bidang terpilih dan sebahagian peserta hari ini akan dijemput sekali lagi untuk sesi yang lebih intensif dan berfokus.
“Sebagai pelengkap kepada Majlis Konsultasi Bajet pada hari ini, seluruh Keluarga Malaysia dijemput untuk mengemukakan cadangan di dalam Portal Cadangan Bajet 2023 dengan melayari laman web Kementerian Kewangan,” tambahnya.