DuniaSemasa

Baca Al-Quran sebelum bekerja jadi amalan penjawat awam di Indonesia

MashaAllah ! Sungguh hebat amalan yang diterapkan Aparatus Sivil Negara (ASN) di Purwakarta dan Karawang apabila semua pegawai dikehendaki menjalani tadarus Al-Quran sebelum memulakan tugasan sepanjang bulan Ramadan, lapor CNN Indonesia.

Menurut Ketua ASN di Purwakarta, Anne Ratna Mustika, arahan diterima berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan dengan mewajibkan semua penjawat awam negeri melibatkan diri dalam aktiviti keagamaan.

Tambah beliau, sesi tadarus atau bacaan Al-Quran dijalankan setiap hari bermula jam 7 hingga 8 pagi.

Beliau menjangkakan tadarus ini akan berjaya dilengkapkan pada minggu ketiga Ramadan.

“Aktiviti itu bertujuan meningkatkan keimanan dan ketakwaan sepanjang berpuasa. 

“Minggu lalu, kita berjaya habiskan satu juzuk sehari kerana surahnya agak panjang. Minggu depan mungkin kita dapat habiskan dua ke tiga juzuk dalam sehari,” katanya.

Pada masa sama, di Kabupaten Karawang, pihak kerajaan mewajibkan semua pekerja untuk membaca Al-Quran dan mengikuti ceramah agama sebelum memulakan pekerjaan. Hebat kan?

Sesungguhnya gaya hidup bekerja sebegini harus menjadi contoh buat rakyat Malaysia agar setiap pekerjaan yang dilakukan lebih berkat dan dirahmati.

Hal ini bertepatan dengan hadis daripada Anu Hurairah  RA, sabda Rasulullah SAW :

وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُاللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ، وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ، لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ

Maksudnya: “Dan tidaklah satu kaum itu berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid) sambil membaca al-Quran dan mempelajarinya sesama mereka melainkan turunnya ketenangan kepada mereka, diliputi oleh rahmat Allah serta malaikat mengerumuninya dan Allah menjadikan makhluk-makhluk yang berada di sisi-Nya menyebut-nyebut mereka. Dan barangsiapa yang amalnya perlahan, maka nasabnya tidak dapat mengangkat darjatnya itu”. [Riwayat Muslim (2699)]

Related Articles

Back to top button