Awas, memandu atas jalan licin !
Penghujung tahun makin tiba ini bermaksud Malaysia bakal berdepan dengan musim tengkujuh yang sudah semestinya mendatangkan kegusaran terhadap semua.
Sama ada bimbang rumah dinaiki air atau kemalangan jalan raya akibat permukaan jalan yang licin.
Permukaan jalan yang licin menyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan, sama ada berpunca daripada kecuaian pemandu mahu pun aspek-aspek lain seperti keadaaan jalan dan kenderaan yang kurang sempurna.
Biarpun, ada sesetengah daripada kita sudah pun merancang waktu perjalanan akan tetapi musim hujan di Malaysia ini ada kalanya tidak dapat dijangka.
Hujan yang turun bagaikan tidak mengenal waktu. Ada masanya seharian bumi Malaysia dibasahi hujan. Adakalanya cuma gerimis dan ketikanya, hujan lebat yang menggila.
Lantas, ia sedikit sebanyak pasti akan mengganggu pemanduan.
Justeru, mari kita ambil tahu apakah cara terbaik memandu ketika hujan dan yang penting jangan panik !
Jangan pandu laju !
Laju-laju nak pergi mana, ingat orang yang tersayang di rumah.
Sedangkan memandu di permukaan jalan yang kering pun boleh terbabas ini pula memandu di atas permukaan jalan licin.
Kemungkinan untuk kenderaan hilang kawalan akan lebih tinggi. Waima, berat atau besarnya kenderaan anda sekalipun, sentiasalah berjaga-jaga ketika memandu.
Mungkin anda yakin nyawa anda akan selamat, tetapi ingatlah di atas jalan raya itu ribuan nyawa yang ada. Jangan akibat kecuaian kita, orang lain yang terkena tempias.
Pasang lampu kenderaan
Meskipun hujan pada waktu siang, nyalaan lampu hadapan adalah amat digalakkan.
Hal ini, bagi memastikan kenderaan lain dapat melihat kereta anda dengan lebih jelas ketika hujan.
Oleh sebab itulah, kebanyakan kenderaan keluaran terbaharu dilengkapi dengan Daytime Running Light (DRL) yang cukup terang.
Elak langgar lopak air
Ingat ! kereta anda bukannya lori tayar besar.
Elakkan daripada melanggar lopak air yang kita tidak tahu berapa dalam kedalamannya.
Jangan main redah sahaja jika nampak ada air bertakung.
Jika terpaksa juga pastikan had ketinggian air dengan ketinggian kenderaan anda. Jangan teruskan jika melebihi had yang sepatutnya.
Tetapi jika sudah terpaksa, pandu dengan perlahan dan kekalkan tekanan pada pedal minyak. Kekalkan haluan pada tempat yang dituju.
Begitu juga apabila berada di jalan raya yang mempunyai tiga lorong, kalau boleh pemandu disarankan untuk ambil lorong tengah kerana biasanya air akan mudah bertakung di sebelah kiri atau kanan jalan.
Jaga jarak kereta
Tahu kadang-kadang kita hilang sabar dengan kereta hadapan yang mungkin agak perlahan, tetapi pastikan jaga jarak kenderaan anda dengan kenderaan lain.
Pastikan jarak yang selamat di antara kenderaan di hadapan kerana anda memerlukan jarak yang agak panjang ketika membrek dalam keadaan jalan yang basah dan licin.
Jarak antara kereta mestilah sekurang-kurangnya empat saat apabila melalui permukaan jalan yang basah.
Ini kerana, sekiranya kenderaan di hadapan tiba-tiba brek atau mungkin sudah terlanggar kenderaan di hadapannya, anda mempunyai masa untuk menghentikan kenderaan anda.
Jangan panik kalau kereta terasa terapung
Kekal tenang ketika anda mula terasa kereta yang dipandu seolah mula hilang kawalan dan terapung.
Kejadian ini dipanggil ‘Aquaplanning’ atau satah air.
Aquaplane terjadi apabila tayar kenderaan anda merentasi permukaan jalan yang banyak air dan menyebabkan air bertakung di bawah tayar.
Sekali gus, membuatkan tayar hilang ‘hubungan’ dengan permukaan jalan sehingga membawa kesan umpama ‘terapung’ dan boleh menyebabkan tayar kurang atau hilang cengkaman.
Ketika satah air terjadi, anda boleh perasan apabila stereng terasa ringan dan tidak responsif dan kedengaran bunyi air memasuki ruang tayar kereta anda.
Rujukan :
- https://paultan.org/2016/12/20/memandu-ketika-hujan-gandakan-fokus-jangan-laju/
- https://www.carsome.my/news/item/pemanduan-musim-hujan
- https://pandulaju.com.my/apanakbuat-7-cara-selamat-tunggang-motor-atas-permukaan-jalan-licin/
- https://www.mekanika.com.my/10-tips-untuk-pemanduan-di-musim-hujan/