Covid19Semasa

AstraZeneca, CoronaVac diberi kelulusan bersyarat sebagai dos penggalak – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR : Penggunaan vaksin AstraZeneca dan CoronaVac sebagai dos penggalak Covid-19 kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas telah diberi kelulusan bersyarat melalui persetujuan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata dos penggalak tersebut diberikan kepada yang telah menerima vaksin siri primer daripada jenis yang sama (homologus).
Dos penggalak bagi vaksin AstraZeneca akan diberikan selepas sela masa enam bulan daripada penerimaan dos kedua vaksin tersebut manakala vaksin CoronaVac, dos penggalak akan diberikan selepas tiga hingga enam bulan daripada dos kedua diterima
“Perincian mengenai pemberian dos penggalak bagi kedua-dua jenis vaksin ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa oleh pihak Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF-8),” katanya.
Menurut Dr Noor Hisham kelulusan pendaftaran bersyarat bagi vaksin AstraZeneca Solution for Injection turut diberikan bagi pengilang ketiga iaitu SK Bioscience Co. Ltd Korea Selatan di mana pemegang pendaftaran bagi vaksin ini adalah AstraZeneca Sdn. Bhd.

Beliau berkata PBKD sebelum ini telah memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat bagi pengilang pertama iaitu AstraZeneca Nijmegen B.V. Netherlands manakala pengilang kedua adalah Siam Bioscience Co., Ltd. Thailand.
Mengulas lanjut, kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.
“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif,” kata Dr Noor Hisham.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin COVID-19 di Malaysia dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD.
-BERNAMA
Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button