MESIR : Mahkamah Mesir pada Ahad (17 Jan) memerintahkan aset bekas Perdana Menteri Mohamed Morsi dan 88 orang lagi anggota Ikhwanul Muslimin, IM, disita.
Jurucakap kehakiman memberitahu agensi AFP, Mahkamah bagi perkara berkepentingan memerintahkan menteri kehakiman menyerahkan harta kesemua 89 anggota IM, yang dirampas itu ke Perbendaharaan.
Bekas Presiden Morsi, meninggal dunia pada Jun 2019 ketika masih dalam tempoh perbicaraan, setelah menjalani hukuman enam tahun penjara.
Memetik Middle East Eye, perintah rampasan itu turut dikenakan ke atas harta yang diwarisi ahli keluarganya.
Langkah yang sama turut dikenakan terhadap pemimpin tertinggi Ikhwanul Muslimin, Mohamad Badie, timbalannya Khairat al-Shater, dan bekas ahli perundangan pertubuhan itu, Mohamed Beltagy, yang kesemuanya kini menjalani hukuman penjara.
Bagaimanapun sumber itu tidak menyebut jumlah sebenar aset yang dibekukan berkenaan.
Akhbar tempatan, al-Youm, melaporkan langkah berkenaan dikatakan satu daripada beberapa peruntukan mengikut perundangan pada tahun 2018, bagi menangani mana-mana pertubuhan dan pengurusan kumpulan pengganas.
Presiden Morsi, yang dilantik secara demokrasi telah digulingkan oleh tentera selepas memegang jawatan selama setahun dalam tunjuk perasaan massa menentang beliau pada tahun 2013.
Penggulingan Morsi diketuai oleh Presiden Abdel Fattah al-Sisi, yang ketika itu adalah jeneral angkatan tentera Mesir.
Mesir telah memenjarakan ribuan anggota dan penyokong Ikhwanul Muslimin setelah menyenaraihitamkan pertubuhan itu sebagai kumpulan pengganas di Mesir.
Ramai yang menerima hukuman mati manakala sebahagian lagi melarikan diri dari negara itu.
Tindakan itu dilihat seoleh satu tindakan menafikan secara langsung kehadiran Ikhwanul Muslimin selepas as-syahid Morsi meninggal dunia ketika masih dalam tahanan dan menghadiri sesi perbicaraan terhadap dirinya yang didakwa cuba menjatuhkan kerajaan Mesir.
Mohammed Morsi (67) jatuh pengsan di dalam kamar pertuduhan dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.