Semasa

ASEAN digesa percepat vaksinasi, kembalikan perjalanan selamat, galak ekonomi digital

KUALA LUMPUR : Memulakan kembali aktiviti serta mempercepat pemulihan ekonomi selepas pandemik Covid-19 merupakan kunci utama yang diketengahkan oleh Presiden Indonesia Joko Widodo untuk Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

Menurutnya, langkah mempercepat vaksinasi Covid-19 adalah kunci pertama kerana penjagaan kesihatan tetap menjadi keutamaan blok dengan 10 anggota itu.

Dalam jangka pendek, beliau berkata ASEAN harus mencapai sasaran untuk memvaksin 70 peratus daripada 650 juta penduduk rantau itu secepat mungkin.

“Kerajaan dan perniagaan di rantau ini perlu berusaha dan mengambil tindakan bersama. Sementara itu, dalam jangka sederhana bagi memastikan rantau ini lebih berdaya tahan terhadap krisis kesihatan di masa depan, protokol krisis kesihatan perlu ditubuhkan,” katanya.

Jokowi berkata kunci kedua adalah mengaktifkan semula perjalanan selamat, termasuk pelancongan selamat, berikutan keadaan Covid-19 semakin terkawal.

Beliau menyebut bahawa Kerangka Penyusunan Koridor Perjalanan ASEAN yang dimulakan oleh Indonesia tahun lalu perlu segera dilaksanakan, manakala perakuan sijil vaksin di rantau ini termasuk keupayaan menyelaraskan satu sistem untuk vaksin juga perlu dipersetujui.

Penyusunan perjalanan atau Laluan Perjalanan Vaksinasi wilayah harus diwujudkan untuk individu yang telah divaksin dan disahkan sihat atau negatif daripada Covid-19.

“Sekiranya semua negara ASEAN segera mempermudahkan pergerakan manusia yang selamat, ekonomi akan kembali pulih,” katanya.

Jokowi berkata mempercepat penyesuaian aktiviti ekonomi serantau menuju ekonomi digital adalah kunci ketiga kerana ia boleh menjadi penyelesaian paling berkesan dalam menangani halangan pergerakan dan interaksi bersemuka dalam aktiviti ekonomi.

Sebagai rantau dengan pertumbuhan ekonomi terpantas di dunia, beliau berkata ekonomi digital di ASEAN mempunyai potensi besar. Semasa wabak ini, ekonomi digital berkembang sebanyak US$100 bilion pada 2020.

“Ia boleh menjadi batu loncatan untuk kemajuan ekonomi di rantau kita. Indonesia menyokong ASEAN untuk menjadi komuniti yang terhubung secara digital.

“Ekonomi ASEAN bukan sahaja akan pulih, tetapi juga boleh melonjakkan kemajuan dan berkembang bersama secara adil dan mampan,” katanya.

-BERNAMA

Oleh Hafeez Anuar

 

Related Articles

Back to top button