Dunia

AS, EU tuntut China lepaskan wartawan dedahkan COVID-19 di Wuhan

Dijatuhi hukuman penjara 4 tahun selepas menyebarkan video di Wuhan awal tahun ini

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) semalam menuntut China membebaskan seorang wartawan yang dipenjara kerana melaporkan situasi pandemik COVID-19 di Wuhan.

Zhang Zhan, bekas peguam yang ditahan sejak Mei dijatuhi hukuman penjara empat tahun kelmarin, berikutan akaun dalam talian yang memberi sekilas gambaran mengenai bandar yang dikatakan menjadi pusat wabak penyakit pernafasan misteri setahun lalu.

Diplomat tertinggi AS, Mike Pompeo, mendakwa Beijing menyembunyikan fakta mengenai COVID-19.

Dalam satu kenyataan, Pompeo meminta China supaya membebaskan wartawan itu dengan segera dan tanpa syarat.

“Parti Komunis China menunjukkan sekali lagi bahawa ia akan melakukan apa sahaja untuk senyapkan mereka yang mempersoalkan tindakan rasmi parti itu, termasuk mengenai maklumat kesihatan awam yang penting,” kata Setiausaha Negara AS semasa pentadbiran Donald Trump sebagai presiden.

Laporan Zhang mencabar naratif rasmi Beijing bahawa kerajaan membanteras virus itu dengan berani, mempersoal kapasiti hospital dan akses ujian virus ketika itu.

Zhang juga mendakwa sebahagian pihak berkuasa negara itu bertindak agresif ke atasnya yang cuba merekod menggunakan telefon bimbit.

Wanita 37 tahun itu dijatuhi hukuman oleh mahkamah Shanghai kerana ‘bertengkar dan menimbulkan masalah’.

Pompeo adalah pengkritik Beijing yang mendakwa China atas peranannya dalam asal usul pandemik itu yang sudah meragut lebih 1.7 juta nyawa seluruh dunia.

Di pihak EU pula, blok itu menuntut agar China membebaskan Zhang termasuk 12 aktivis Hong Kong yang ditahan di laut.

“Menurut sumber dipercayai, Zhang diseksa dan dianiaya sepanjang penahanannya serta keadaan kesihatannya merosot dengan teruk. Amat penting dia mendapatkan bantuan perubatan yang mencukupi,” kata Jurucakap Dasar Luar EU, Peter Stano dalam satu kenyataan.

— AFP / BERITA HARIAN

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Check Also
Close
Back to top button