RIYADH : Tempoh pengeluaran permit antara dua umrah kini ditetapkan selama 10 hari melibatkan kesemua kumpulan jemaah.
Menurut laporan Saudi Gazette memetik kenyataan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkata jemaah boleh menggunakan aplikasi Eatmarna atau Tawakkalna untuk membuat tempahan umrah kedua selepas 10 hari umrah pertama berakhir.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas ia kembali melaksanakan langkah berjaga-jaga dan protokol kesihatan seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di Masjidil Haram, Makkah serta Masjid Nabawi, Madinah.
Ia susulan lonjakan kes jangkitan terutamanya penularan varian Omicron yang semakin meningkat.
Sebelum ini, tempoh selang masa selama 15 hari ditetapkan antara dua umrah, namun ia dibatalkan pada Oktober lalu setelah ia melonggarkan sekatan Covid-19 termasuk membenarkan had kapasiti penuh untuk jemaah berusia 12 tahun ke atas menunaikan solat di kedua-dua masjid suci dan menziarahi Raudhah di Masjid Nabawi.
– AGENSI