DuniaSemasa

Arab Saudi lancar program iftar ke 34 negara

RIYADH : Program berbuka puasa dilancarkan oleh kerajaan Arab Saudi melibatkan 34 negara yang dijangka memberi manfaat kepada 1.2 juta umat Islam di seluruh dunia.

Menurut laporan Arab News, Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi, Sheikh Abdullatif Al-Asheikh memaklumkan, objektif utama program tersebut diadakan adalah untuk membekalkan hidangan berbuka puasa kepada umat Islam ketika bulan Ramadan yang dijangka bermula 2 April depan.

“Kita sudah membuat penyelarasan dengan kedutaan Arab Saudi dan Pusat Islam kementerian bagi mengaturkan pelaksanaan program di seluruh dunia bergantung kepada keperluan dan permintaan,” katanya.

Menurut beliau, pada tahun lalu hanya 16 negara menerima sumbangan dari kerajaan Arab Saudi berikutan protokol kesihatan dan sekatan Covid-19.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 156,993 bakul makanan diedarkan oleh Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman ke 19 negara semasa bulan Ramadan.

Penyelia Am, Dr. Abdullah Al-Rabeeah berkata, pihaknya menerima peruntukan 37 juta riyal (RM41.5 juta) menerusi inisiatif Etaam, Ahad lalu.

Jelasnya, projek itu menyasarkan seramai 901,463 penerima.

“Projek ini merupakan sebahagian daripada bantuan kemanusiaan berterusan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk penduduk dunia yang hidup melarat.

“Kami juga akan memberikan bantuan makanan dan meningkatkan gaya hidup kepada golongan yang memerlukan di beberapa negara,” jelasnya.

-AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button