RIYADH : Arab Saudi kini membenarkan kanak-kanak bawah tujuh tahun memasuki Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dengan syarat mereka sudah menerima vaksin Covid-19, menurut Kementerian Haji dan Umrah.
Kementerian tersebut menasihatkan bahawa sesiapa di Arab Saudi yang ingin mengerjakan Umrah perlu mendapatkan permit terlebih dahulu menerusi aplikasi “Tawakkalna” atau “Eatmarna”.
Status kesihatan mereka pada aplikasi mesti ditunjukkan sebagai “imun” dan data mereka mesti dikemas kini melalui sistem “Absher”.
Keputusan itu dibuat susulan pemberian vaksin berterusan kepada kanak-kanak yang berumur antara lima hingga 11 tahun.
Kementerian itu juga mengeluarkan garis panduan untuk mengerjakan ibadah umrah di kala pandemic Covid-19 pada awal Februari.
“Semua jemaah umrah yang tiba di Arab Saudi perlu mengemukakan keputusan ujian RTK-antigen atau PCR negatif yang diterima dalam tempoh 48 jam selepas mereka berlepas. Ini adalah keperluan wajib tanpa mengira status “imun” mereka,” menurut kementerian itu.
Untuk rekod, ibadah Umrah dan Haji telah terjejas sejak bermulanya wabak itu, dengan Kerajaan mengehadkan jemaah haji kepada hanya 60,000 penduduk dan warganegara tahun lepas.
-AGENSI