Aplikasi MyPublicInfoBanjir sedia maklumat tepat kawasan banjir
Data secara tepat & spesifik melalui stesen telemetri hidrologi

KUALA LUMPUR: Orang ramai khususnya penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir diminta untuk memuat turun aplikasi MyPublicInfoBanjir bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung bencana itu.
Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, berkata aplikasi itu menyediakan data banjir untuk 1,500 kawasan di seluruh negara secara tepat dan spesifik melalui penempatan stesen telemetri hidrologi.
Mengulas lanjut, katanya, dengan maklumat banjir itu, ia lebih memudahkan orang ramai melakukan persediaan lebih awal atau merancang melakukan perjalanan.
“Kita mahu masyarakat menggunakan aplikasi ini, ada 1,500 kawasan yang kita boleh menyatakan tempat secara spesifik di mana banjir akan berlaku bukan di pantai timur sahaja namun termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Di kawasan itu, adanya 1,500 stesen telemetri hidrologi akan memberikan data sangat spesifik. Justeru harus diwar-warkan, jangan kata tak tahu banjir.
“Jika adanya aplikasi ini boleh semak di kawasan mereka atau yang ingin balik kampung boleh tahu sepanjang perjalanan sama ada banjir atau tidak,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, di sini.
Semakan di aplikasi itu mendapati antara maklumat yang dipaparkan ialah takungan paras air sungai sama ada ia berada pada tahap bahaya, amaran atau berjaga-jaga selain taburan hujan di kawasan tertentu.
Datuk Seri Ir Dr Zaini berkata, lebih banyak stesen telemetri hidrologi bakal ditambah pada masa akan datang bagi membolehkan data banjir diakses membabitkan banyak lagi lokaliti khususnya di kawasan kampung.
Pada masa sama katanya, melalui Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) amaran banjir monsun boleh diperoleh dalam tempoh dua hari awal.
Beliau berkata, fasa satu PRAB kini sudah siap pada 2017 meliputi lembangan sungai utama di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“PRAB dijangka siap sepenuhnya pada 2023 di mana kita boleh tahu data banjir secara spesifik di seluruh negara dalam tempoh dua hari, ” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 232 kejadian banjir direkodkan dari November lalu hingga 3 Januari lalu melalui Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS).
Katanya, daripada jumlah itu, 171 kejadian banjir direkodkan pada November, Disember (80) dan Januari (72). -Berita Harian