Aplikasi Hijrah Diri JAKIM dikeluarkan dari Google Play
PUTRAJAYA : Google Play telah membuang Aplikasi Hijrah Diri yang dibangunkan dengan tujuan mengajak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam kalangan umat Islam kembali kepada fitrah diri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, aplikasi yang dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu ternyata ia adalah perkara sangat mendukacitakan.
Menurutnya, aplikasi itu bertujuan menarik manusia yang tersesat jalan kembali kepada fitrah diri, apatah lagi menjelang bulan Ramadan yang mulia, tetapi dinafikan pihak tertentu.
Idris berkata, banyak lagi aplikasi yang merosak jiwa umat Islam dan anak muda dan serta mampu mendorong kepada maksiat berleluasa dengan megah di peranti.
“Saya mengarahkan JAKIM untuk berhubung dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mendapatkan penjelasan dan tindakan lanjut.”
“Kita mohon doa semua umat Islam dan rakyat Malaysia agar usaha kecil Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui agensi utama iaitu Jakim untuk mengajak manusia kembali kepada Allah dipermudahkan.
“Ini cabaran besar kita dan mari kita tempuh bersama,” tulisnya di Facebook, semalam.