Semasa

Api kebakaran hutan Taman Kenya semakin merebak

NAIROBI : Renjer hutan dan sukarelawan bekerja tanpa jemu untuk memadamkan kebakaran hutan di Taman Negara Aberdare di Kenya, yang merebak akibat angin kencang, sejak semalam.

Menurut anggota Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya (KWS), pertubuhan kerajaan yang menjaga taman negara itu berkata, kebakaran yang bermula semalam sudah berlarutan lebih 24 jam.

“Disebabkan angin kencang, api semakin marak dan ia merebak jauh dan luas.”

“Kami sudah menyelaras masyarakat setempat dan kakitangan yang ada, semuanya melakukan usaha terbaik mereka, namun kebakaran yang berlaku terlalu besar untuk kami tangani,” katanya.

Taman negara terbabit terpahat dalam sejarah kerana dikunjungi Ratu Elizabeth II apabila masih bergelar puteri dan menerima berita kemangkatan bapanya ketika menginap di hotel Treetops yang dibina di atas pokok sebagai lokasi memerhati hidupan liar di hutan Aberdare forest.

Rhino Ark, sebuah organisasi pemuliharaan Kenya, berkata di Twitter bahawa ia perlu mengerahkan helikopter untuk melakukan pengawasan atas untuk menentukan tahap kehilangan hutan.

Mount Kenya Trust, sebuah pertubuhan bukan untung yang berdedikasi untuk perlindungan hutan di Kenya, berkata ia telah menghantar satu pasukan untuk membantu memadamkan kebakaran hutan di Aberdares.

“Mereka akan berkhemah di sana dan memulakan kerja sebaik subuh di taman negara yang terletak kira-kira 100 kilometer (km) ke utara ibu negara, Nairobi.

Terletak di banjaran gunung Aberdare, taman negara itu menempatkan air terjun yang mempesona, hutan buluh yang subur dan pelbagai spesies hidupan liar termasuk harimau bintang, gajah serta badak sumbu hitam yang kini kritikal diancam kepupusan.

Banjaran Aberdares, yang mencapai ketinggian hampir 4,000 meter, adalah banjaran gunung ketiga tertinggi di Kenya.

Pindaan Akta Pemuliharaan Hutan dan Pengurusan, yang diluluskan selepas puluhan tahun pembersihan hutan secara haram berlaku, kini mencetuskan kemarahan dan kebimbangan rakyat ia mungkin menyebabkan pembalakan haram serta kemusnahan alam sekitar.

-AGENSI

 

Related Articles

Back to top button