Semasa

Apa `posting’ terakhir kita? Ustazah Asma terharu posting terakhir mangsa

Golongan ibu, isteri, wanita simpati nasib mangsa ditembak suami

Apabila ada sahaja kisah yang menjentik hati masyarakat, mengenai kasih seorang anak, seorang isteri atau suami dan segala isu kepincangan masyarakat  yang dekat dengan diri seseorang –  pasti  sahaja `tentera bawang’ terus bertindak.

Tindakan melakukan pemeriksaan terhadap mana-mana media sosial milik pelaku,  ada pro dan kontranya.

Tindakan ini telah menjadi satu trend dalam masyarakat kini, dan menulis sesuatu yang kurang sesuai terhadap seseorang di laman sosial juga adalah takrifan buli siber.

Ayas dan Deniz (2014) mendapati buli siber merupakan perbuatan disengajakan yang dilakukan  ketika menggunakan Internet dan laman sosial yang lain. Aricak (2009) dan Ozden & Icellioglu (2014) juga mendapati buli siber adalah suatu perbuatan ancaman kepada individu yang dilakukan oleh seseorang sama ada secara individu atau berkumpulan yang melibatkan penggunaan ICT seperti email, peti simpanan mesej, telefon pintar dan sebagainya.

Apa pun takrifannya, kecanggihan teknologi dan peranti yang mesra pengguna membolehkan pemilik akaun media sosial secara pantas mendapat maklumat , dan menyebarkan maklumat itu.

Perkara itu jugalah yang berlaku terhadap laman sosial FB milik lelaki yang didakwa menembak isterinya yang sedang tidur dan menyumbat jenazah isteri ke dalam tong air lalu ditanamnya sedalam 2 meter.

Netizen menyerang akaun media sosial miliknya selepas kejadian ini dipaparkan di media.

Sekali lagi media sosial menjadi medium menyampaikan mesej paling berkesan, pantas tetapi apakah ia mesej yang baik atau sebaliknya terpulang kepada pemilik akaun itu sendiri.

Pelbagai rencam kandungan marah berbaur sedih, benci, geram, simpati, kasih sayang dan hiba sebenarnya.

Biarlah isu tidak memasak nasi, cemuhan terhadap isteri di laman sosial diintepretasikan sendiri oleh mereka yang ingin mencarinya.

UMMAHToday tidak memaparkannya di sini dan biarlah maklumat atau `serangan’ itu  dicari sendiri oleh netizen.

Malah kes itu yang masih segar dan masih dalam siasatan pihak berkuasa, biarlah kita memberikan penghormatan kepada pihak berkuasa menjalankan tugas mereka.

Yang pasti , kejadian di Kota Tinggi, Johor itu sememangnya menyentak perasaan masyarakat terutama kaum wanita, ibu dan golongan isteri semalam.

Walau tidak diberikan nama sebenar mangsa, dan juga pelaku,  warganet berjaya menyelongkar akaun FB milik mangsa lantas menghujani dengan kata-kata sedih, serta sarat ucapan takziah dalam kejadian yang amat tragis itu.

Perkongsian simpati dari hati wanita kepada wanita disampaikan di ruang komen di hantaran FB milik penceramah terkenal Ustazah Asma’ Harun.

Salah satu komen menyatakan kepada Ustazah, mangsa banyak berkongsi ceramah beliau beberapa hari sebelum ujian menimpa Allahyarham dan keluarga.

Dalam hantaran bertulis jam 2:30 awal pagi tadi Ustazah Asma’ berkongsi perasaannya sejurus diberitahu mengenai perkara itu.

Terharu dan pilu.

Luluh hati Ustazah Asma’ apabila dikhabarkan ada yang sudi memanfaatkan penyampaiannya pada masa yang sama, amat berduka cita dengan kejadian yang menggemparkan masyarakat itu.

 

إِنَّا لِلّٰهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعُوْن
“Sesungguhnya kita semua daripada Allah dan kepadaNya jua kita semua akan kembali” ????Allahu Akbar, kita semua dikejutkan dengan kematian yang begitu tragis. Seorang wanita dan ibu kepada dua orang anak kecil. Wajah dan suara keibuannya sungguh menyayat hati. Hanya Allah yang tahu hakikat ujian yang dilalui arwah, beliau begitu menjaga rahsia dan aib, tidak dikongsikan di media.
SubhanAllah, secara peribadi sungguh saya merasa begitu sayu, apabila melihat antara posting terakhir FB arwah adalah 3 live ceramah saya ????.

Nukilan doa dipanjatkan beliau untuk Allahyarham mangsa serta ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Sebagai seorang wanita dan ibu, sudah pasti bukan Ustazah Asma’ sahaja meruntun hati dengan tinggalan ucapan selamat hari jadi buat anakanda tercinta.
Allahyarham di hari-hari akhirnya seolah menyampaikan amanat terakhir seorang ibu dan doa abadi buat anak-anak tercinta sempena ulang tahun kelahiran anak beliau.
Dalam pada mencatat memori akhir milik mangsa, rasa terharu beliau disela dengan air mata, bukan untuk mendabik dada tetapi iktibar untuk diri dan semua.

Kaitan sosial media dengan kehidupan seorang Islam sering dinasihat, dibincang oleh para ilmuwan Islam mengenai apa yang kita kongsikan.

Memetik hantaran FB Ustazah Asma’, beliau berkata Allahyarham beruntung kerana berkongsi perkara yang baik-baik sebelum kematiannya, termasuk  kewajipan utama, menunaikan solat – buat muslimin muslimat.

Media sosial seperti Facebook dan Twitter membuka peluang dan ruang untuk sesiapa sahaja memberi pandangan dan hujah tanpa batasan.

Melayari dunia digital, kita tidak boleh menolak qada dan qadar yang telah ditentukan.

Dalam konteks sebagai pemilik akaun media sosial abad ini dan kaitan dengan hari akhir kita nanti – ada pelajaran yang boleh diinsafi  –  apa posting terakhir kita?

Daripada Abu Mas’ud ‘Uqbah bin Amriy Al-Anshori Al-Badriy, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya.”- (Muslim)

 

 

 

 

 

 

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button