BanjirKerohanianPendidikanSemasa

Apa kaedah terbaik untuk lupuskan Al-Quran yang rosak akibat banjir?

Apabila terjadinya bencana banjir, sudah pasti banyak harta benda serta barang keperluan semuanya rosak akibat ditenggelami air dan tidak dapat diselamatkan lagi.

Salah satu barang yang paling penting bagi umat Islam adalah kitab suci Al-Quran yang turut boleh rosak akibat bencana itu, namun menjadi keraguan bagi pemiliknya mengenai cara yang paling afdhal untuk melupuskannya.

Menurut penjelasan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, mereka menerangkan dari sudut keempat-empat mazhab yang melibatkan Mazhab Hanafi, Mazhab Hanbali, Mazhab Maliki dan Mazhab Syafi’i.

Pertama, Mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat bahawa Al-Quran yang telah rosak hendaklah digali tanah dan ditanam di dalamnya seperti ulama’ Hanafi antaranya al-Haskafi berkata :

“Mushaf apabila berada pada keadaan yang mana kita tidak mampu membacanya lagi hendaklah ditanam sebagaimana keadaan orang Islam yang mati”.

Dalam pada itu, mereka turut memetik pendapat Syeikh Muhammad Ibrahim Al al-Syeikh (mantan Mufti Besar Arab Saudi) iaitu cara yang paling sahih ketika luput sebahagian kertas mushaf ialah dengan menanamnya di masjid. Jika tidak boleh maka ditanamnya di tempat yang bersih lagi suci dan harus juga membakarnya.

Yang kedua pula, menurut Mazhab Maliki dan Syafi’i, Al-Quran itu hendaklah dibakar kerana berdasarkan tindakan Saidina Uthman yang memerintahkan untuk membakar mushaf yang lain yang berbeza dengan mushaf yang ditulis, dan perbuatan tersebut telah disaksikan oleh ramai Sahabat.

Mereka memperincikan lagi dengan menerangkan bahawa seperti telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahihnya no. 4988. Mus’ab bin Sa’d berkata :

“Aku mendapati ramai orang yang mana menyaksikan peristiwa arahan Saidina Uthman supaya mushaf-mushaf yang lain dibakar.

Kesimpulannya, isu berkenaan melibatkan nama-nama Allah, kitab-kitab hadis atau kitab-kitab agama yang mengandungi nama Allah hendaklah kita muliakan di mana cara pelupusannya dibuat sebagaimana dilupuskan mushaf seperti di atas.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button