GAZA, 18 Oktober – Angka kematian penduduk Palestin akibat konflik di Gaza kini meningkat kepada 42,438 orang, menurut laporan agensi berita Palestin, WAFA. Jumlah ini termasuk 29 kematian yang direkodkan dalam tempoh 24 jam yang lalu, manakala 93 orang lagi dilaporkan cedera.
Pihak Berkuasa Kesihatan Gaza dalam satu kenyataan berkata, seramai 99,246 orang telah mengalami kecederaan, dengan majoriti mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Perkhidmatan kecemasan tidak dapat memberikan bantuan kepada mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan atau mengeluarkan mayat di kawasan konflik. Hal ini disebabkan pasukan pendudukan Israel terus menghalang pergerakan ambulans dan pasukan pertahanan awam, menyukarkan usaha menyelamat dan rawatan kecemasan.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Palestin mengecam serangan terhadap sebuah ambulans ketika pasukan perubatan sedang membawa seorang pesakit berhampiran Qalqilya di utara Tebing Barat yang diduduki. Dalam kejadian tersebut, pemandu ambulans dan doktor yang mengiringi pesakit telah diserang secara fizikal.
Serangan ke atas sistem penjagaan kesihatan di Tebing Barat dan Gaza ini dilaporkan semakin meningkat, menghalang pesakit daripada menerima rawatan perubatan yang sangat diperlukan. Kementerian Kesihatan Palestin menyifatkan tindakan tersebut sebagai pengabaian terang-terangan terhadap undang-undang dan konvensyen hak asasi kemanusiaan antarabangsa.
Kementerian itu juga sekali lagi merayu kepada masyarakat antarabangsa dan organisasi kesihatan global untuk mengambil tindakan segera bagi melindungi sektor kesihatan Palestin dan memastikan sokongan perubatan yang diperlukan sampai kepada rakyat Palestin yang terus menghadapi pencerobohan Israel.
SUMBER: WAFA