Semasa

Anggota TDM diwajibkan ambil vaksin

PETALING JAYA : Anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang ingkar atau enggan untuk menerima vaksin Covid-19 boleh dikenakan tindakan tatatertib berikutan melanggar perintah tetap.

TDM dalam satu kenyataan berkata, sebagai anggota tentera, pengambilan vaksin adalah diwajibkan terutamanya sebelum melaksanakan sesuatu penugasan.

“Bagaimanapun, suntikan itu dikecualikan kepada mereka yang tergolong di dalam kumpulan yang tidak layak untuk menerima vaksin.

“Tindakan seseorang anggota tentera yang ingkar atau enggan untuk menerima vaksin boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar perintah atau melanggar perintah tetap,” katanya semalam.

Menurutnya, pengambilan vaksin di dalam kalangan anggota TDM diwajibkan atas dasar anggota hidup secara berkelompok.

“Selain itu, peranan dan tanggungjawab TDM kini sebagai petugas barisan hadapan dalam melaksanakan penugasan mahupun latihan turut berdepan ancaman Covid-19.

“Sehubungan itu, adalah wajar untuk kesemua anggota TDM mengambil vaksin bagi mengekang penularan yang bukan sahaja akan berlaku dalam kalangan anggota tetapi menjangkiti keluarga,” tegasnya.

-BERNAMA

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button