DuniaSemasa

Anak perempuan mati dibunuh rejim Israel, bapa tuntut keadilan

Seorang bapa dari Palestin menuntut keadilan untuk tiga anak perempuannya yang dibunuh 13 tahun lalu akibat ditembak peluru kereta kebal Israel yang menyasarkan rumahnya di kem Jabalia, utara Kota Gaza.

Abu el Eish, yang telah berpindah ke Kanada, pergi ke Israel untuk menghadiri prosiding mahkamah di Mahkamah Agung pada Isnin.

Namun, mahkamah masih belum mengemukakan keputusan dalam tuntutan sivil itu.

“Ini adalah satu tragedi,” Abu el Eish, yang memegang gambar rumahnya yang dihancurkan, memberitahu media sambil menunjuk ke bilik di mana anak-anak perempuannya terkorban.

“Secara peribadi, saya tidak mahu sesiapa pun melalui apa yang saya lalui,” katanya.

“Semasa serangan Israel, anak-anak perempuan saya belajar (pada waktu malam) menggunakan lilin kerana tiada bekalan elektrik,” kata Abu el Eish.

“Mereka mempunyai matlamat. Matlamat mereka adalah untuk berjaya, belajar, dan menjadi penyampai mesej kemanusiaan. Inilah apa yang telah saya didik kepada anak-anak saya.”

Abu el Eish berkata dia berazam untuk mencari keadilan bagi anak perempuannya melalui apa jua “cara yang bertamadun, aman, mengikut undang-undang dan bermoral”.

“Malangnya, dan amat menyakitkan apa respon selalu mereka berikan adalah penafian, cuba mengelak, dan sering memberikan alasan palsu,” katanya.

“Ini telah menambahkan lagi kesakitan dan penderitaan yang saya dan keluarga telah alami”.

Namun Abu el Eish masih tetap berharap bahawa hakim Israel akan melakukan “apa yang bermoral, apa yang betul, dan apa yang sah.”

Abu el Eish, yang merupakan seorang doktor perubatan, menuntut Israel membuat permohonan maaf secara rasmi dan bahawa ia bertanggungjawab sepenuhnya atas pembunuhan itu.

Dia juga menuntut pampasan kewangan yang dia ingin gunakan untuk membiayai sebuah kolej sebagai penghormatan kepada anak perempuannya.

Sementara itu, dia turut menyaman pihak berkuasa Israel atas kematian tiga anak perempuannya – Bisan, Mayar, dan Aya – yang masing-masing berumur 21, 15 dan 13 tahun.

Ahli keluarga lain yang tinggal di rumah yang sama turut cedera akibat tembakan tentera Israel semasa serangan selama tiga minggu di Semenanjung Gaza yang bermula pada 27 Disember 2008.

Untuk rekod, serangan Israel, yang dikenali sebagai Operasi Cast Lead, mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai kira-kira 1,400 rakyat Palestin dan ribuan cedera.

Pada Mac 2017, Mahkamah Pusat Israel di bandar selatan Beersheba menyemak kes itu tetapi menolaknya.

-AGENSI

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button