
PERTH : Kerusi Parlimen Tangney di Perth telah dimenangi oleh seorang bekas pegawai polis Malaysia yang pernah menjadi pelatih ikan lumba-lumba.
Sam Lim, anak kelahiran Johor berjaya mengalahkan Ben Morton dari parti Liberal dengan margin 9.5 peratus dalam keputusan yang dianggap mustahil berlaku di barat Australia.
Menurut laporan DailyMail, Sam membuat kejutan apabila orang kuat bekas Perdana Menteri, Scott Morrison telah disingkirkan daripada kerusi di Tangney, di pinggir bandar pedalaman Perth.
Morton yang merupakan pembantu kepada perdana menteri merupakan seorang teman rapat dan orang kuat Morrison.
Kerjaya pertamanya ialah sebagai konstabel dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia tetapi berhenti selepas dua tahun bekerja kerana gaji yang rendah tidak mencukupi untuk meneruskan kehidupan.
Lim juga sebelum ini pernah menjadi pelatih ikan lumba-lumba di sebuah taman rekreasi di Johor selepas berkhidmat selama dua tahun sebagai pegawai polis di Malaysia.
Beliau menceburi perniagaan kecil lalu selepas taman tersebut ditutup lalu berhijrah ke Australia bersama isteri dan tiga anaknya pada 2002 dan menyertai Akademi Polis Australia Barat pada 2006.
Lim dianugerahkan Pegawai Polis Terbaik pada 2020 kerana peranannya dalam kalangan masyarakat berbilang kaum ketika pandemik COVID-19.