Covid19Semasa

Ambil dos penggalak atau status vaksinasi kembali tidak lengkap

KUALA LUMPUR : Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengingatkan orang ramai yang lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19, Sinovac berusia 18 tahun ke atas untuk mendapatkan suntikan penggalak selewat-lewatnya pada Februari tahun hadapan.

Tambah beliau, individu yang berusia 60 tahun ke atas, tanpa mengira jenis vaksin juga perlu mengambil suntikan dos penggalak pada tempoh berkenaan.

Khairy berkata, sekiranya individu yang dinyatakan tidak mendapatkan suntikan dos penggalak selepas Februari tahun hadapan, maka, status vaksinasi akan ditukarkan menjadi tidak lengkap.

“Individu terbabit tidak layak untuk menerima kemudahan yang diberikan kepada penerima dos lengkap vaksin Covid-19,” katanya pada sidang media hari ini.

Menerusi laman Twitter Khairy memaklumkan, individu akan mendapat temu janji penggalak di MySejahtera 180 hari selepas dos kedua (Pfizer atau AstraZeneca) manakala, 90 hari selepas dos kedua (Sinovac).

Mengulas lanjut, Khairy memaklumkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega akan diaktifkan semula bagi mempercepatkan pemberian dos penggalak.

Hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kes Covid-19  jenis Omicron kedua di negara ini melibatkan seorang kanak-kanak berusia  lapan tahun yang tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 Disember lalu.

Dalam satu kenyataan, Khairy memaklumkan sebanyak 18 kes berpotensi varian Omicron dikenal pasti di negara ini dan kesemuanya melibatkan pengembara yang pulang dari luar negara.

Related Articles

Back to top button