Amaran ribut petir di Selangor, KL, Negeri Sembilan dan Melaka
PETALING JAYA : Amaran ribut petir dan hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka telah dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
METMalaysia dalam satu kenyataan berkata ribut petir dan hujan lebat dijangka melanda kawasan Gombak, Petaling dan Hulu Langat sehingga pukul 12 tengah hari nanti.
“Selain itu, amaran yang sama turut melibatkan keseluruhan negeri Melaka bagi tempoh yang sama hari ini.
“Manakala di Negeri Sembilan pula, kawasan yang terlibat adalah Jelebu, Seremban, Jempol dan Tampin.
Dalam pada itu, MetMalaysia kekal mengeluarkan amaran hujan berterusan melibatkan peringkat waspada, buruk dan bahaya bagi beberapa negeri di semenanjung serta Sabah.
“Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa peka dengan amaran terkini cuaca bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku seperti banjir,” katanya.