BanjirSemasa

Amaran hujan berterusan tahap waspada di 8 negeri

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka berlaku di 8 negeri antara esok dan Ahad ini.

MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan hujan berterusan dijangka berlaku di empat negeri mulai esok hingga Sabtu iaitu Perak (Hulu Perak), Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai), Pahang (Jerantut, Kuantan dan Pekan) serta seluruh Terengganu.


Cuaca sama turut diramalkan berlaku esok di Sabah melibatkan kawasan Sandakan (Telupid, Kinabatangan dan Beluran) dan Kudat manakala di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang pula hujan berterusan diramal berlaku bermula Sabtu hingga Ahad ini.


Sebelum itu, MetMalaysia turut memaklumkan kejadian hujan lebat dan ribut petir di Kedah dijangka berlaku di Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu, manakala di Pulau Pinang melibatkan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

Di Perak, keadaan cuaca ribut dan hujan lebat dijangka berlaku di Kerian; Larut, Matang dan Selama; Hulu Perak; Kuala Kangsar; Kinta; Kampar dan Batang Padang.

Sementara di kawasan selatan, keadaan cuaca sama dijangka berlaku di Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau di Negeri Sembilan, serta di Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi di Johor.

Di pantai timur, MetMalaysia turut meramalkan cuaca serupa di Terengganu, melibatkan Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman, manakala di Pahang melibatkan daerah Cameron Highlands, Jerantut, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin.

Di Malaysia Timur, ribut petir, hujan lebat dijangkakan melanda di Kuching, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah (Tanjung Manis dan Daro) di Sarawak dan Kudat di Sabah.

BACA JUGA
Aktivis MAPIM bertindak segera bantu ummah di Bangi Lama

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button