DuniaSemasa

Amalan iktikaf di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi akan kembali dihidupkan pada Ramadan ini

MEKAH : Setelah dua tahun, akhirnya amalan iktikaf di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi akan kembali dihidupkan menjelang bulan Ramadan tahun ini.

Ketua Presidensi Umum untuk Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Dr. Abdul Rahman Al-Sudais mengumumkan perkara itu dan memberitahu bahawa pejabat presiden akan mula mengeluarkan permit melalui laman web rasminya tidak lama lagi beserta dengan syarat khusus dan kriteria yang ditetapkan.

Menjelang 10 hari terakhir bulan puasa, kedua-dua masjid pernah menerima sehingga 100,000 jemaah beriktikaf ketika waktu sebelum pandemik.

Iktikaf adalah amalan menghabiskan masa di dalam masjid untuk menjalani ibadah selama beberapa hari terutamanya di bulan Ramadan.

Amalan iktikaf tidak dibenarkan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sepanjang Ramadan pada 2020 dan 2021 berikutan penularan wabak Covid-19.

Untuk rekod, pada 2019, kawasan di bumbung masjid untuk iktikaf telah diperuntukkan oleh pejabat presiden dengan rak dan peti besi berasingan.

Setiap jemaah diberikan loker sendiri dengan kunci untuk menyimpan barang-barang mereka, termasuk sejadah, bantal, cadar ringan dan pakaian ihram.

Dalam pada itu, pejabat presiden turut melancarkan portal online untuk memberi garis panduan dan kemudahan pendaftaran kepada bakal jemaah yang berniat untuk melakukan iktikaf.

 – AGENSI

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button