“Allah akan uji mengikut kemampuan hamba-Nya”
Affendi reda Allah susun jalan kehidupan sebagai pengutip sampah
Oleh Bahruddin Bekri
Pengutip sampah yang yang mencari erti sebenar, “Allah akan menguji mengikut kemampuan hamba-Nya.”
Kisahnya pernah viral. Seorang lelaki yang lumpuh dari pinggang ke bawah dan perlu menjalani dialisis, menjadi seorang pengutip sampah di ibu kota.
Pengutip sampah yang tegas tidak mahu menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat kerana untuknya dia mampu berusaha sendiri.
Ketika kisahnya viral itulah, berbodong- bodong bantuan diberikan. Namun selepas beberapa ketika, dia tetap memilih untuk hidup seperti itu, menjadi seorang pengutip sampah berkerusi roda.
Walaupun kerjanya mengutip sampah, dia tetap memastikan dia melakukan yang terbaik dengan kerjanya itu.
Untuk itu dia perlu berlumba dengan lori pengutip sampah. Sekiranya lambat, sampah akan diangkut dan kuranglah pendapatannya pada hari itu.
Belajar daripada pengalaman, dia sudah menetapkan jadualnya sendiri. Untuknya, pekerjaan ini tetap perlu strategi dan disiplin yang ketat, bukan seperti jangkaan masyarakat yang kerja ini sembrono.
Oleh kerana dia mengutip sampah di beberapa kawasan, dia sudah menghafal jadual lori sampah di setiap kawasan. Kemudian menyusunnya bagi mendapatkan hasil yang optimum.
Setiap kawasan punyai jadual kutipan sampah yang berbeza. Ada kawasan sampahnya dikutip pada pukul 7.30 pagi, 11.30 pagi, 2.30 petang, 4.30 petang, 9.00 malam dan 11 malam.
Dia perlu mengutip sampah di antara selang masa itu. Paling utama dia perlu sampai lebih awal bagi memberikannya masa memilih sampah yang boleh dijual kembali.
Sekiranya beliau sampai 10 minit sebelum lori sampah tiba, tidak banyak yang boleh dia peroleh.
Misalnya, sampah di kawasan Masjid India akan dikutip pada pukul 8.45 pagi. Maka dia memastikan pada jam lapan dia sudah berada di situ.
Ini kerja sepanjang hari dan biasanya dia akan berada di Dang Wangi pada waktu maghrib.
Dia juga memastikan, solatnya tetap terjaga, dan untuk itu dia akan solat sahaja di mana-mana. Sekiranya sempat ke masjid, dia akan ke masjid. Tetapi sekiranyaa tidak, untuknya semua tempat adalah, ‘masjid’ untuknya asalkan ia bersih.
Tentang pendapatan, Affendi mengakui, pendapatan mengutip sedekah lebih tinggi.
Dia sempat mengutip sedekah hampir dua minggu dan memperoleh sebanyak RM600.
Manakala kerja mengutip sampah ini pula, dia perlukan lebih 20 hari bagi mendapat jumlah yang sama.
Kira-kira RM15 sehingga RM20 sehari. Semasa PKP pendapatannya menurun di bawah RM10 sehari
Namun dia memilih untuk tetap bekerja mengutip sampah, walaupun pernah juga menjadi pengawal keselamatan kerana menurutnya ini adalah kerja yang mengajarnya untuk ikhlas.
Untuk Affendi dia sangat perlukan ikhlas itu, kerana sebelum ini, selama 49 tahun dia memiliki hidup yang biasa. Mungkin tidak sempurna tetapi ia bahagia.
Punyai anak-anak yang baik dan berpelajaran dan juga kerja yang memberikan upah yang bagus.
Pekerjaan terakhirnya adalah sebagai tukang cat. Selama ini kerjanya elok, tetapi pada suatu hari ketika melakukan kerja ‘marking area’ yang memerlukannya memanjat dan bergaut pada bangunan lama, dia terjatuh.
Jatuhnya, jatuh duduk dengan kaki kanan dahulu menghentam tar sebelum punggungnya mendarat keras. Dia ke ICU dan koma.
Dia mengakui silapnya kerana tidak menggunakan tali keselamatan, dan sekali lagi dia mengakui silapnya yang lebih besar iaitu, dia tidak ada caruman PERKESO.
Alhamdulillah, umurnya panjang. Selepas sedar daripada koma, dia akhirnya menyedari dia sudah lumpuh tidak mampu berjalan.
Dia hilang semua kekuatan yang ada. Emosi bergejolak. Serba tidak kena.
Selama 49 tahun dia menjadi manusia yang bebas fizikalnya mampu berbuat apa sahaja, kini dia perlu menelan pahitnya kehidupan. Dia lumpuh dan terpenjara dengan dirinya sendiri.