Alami perubahan ketara pada wajah, Ustaz Kazim Elias akui terkena penyakit ‘Ain’
KUALA LUMPUR : Sering kali muncul di kaca televisyen menyampaikan dakwah kepada orang ramai sambil menyelitkan jenaka dalam penyampaiannya membuat beliau antara pendakwah yang terkenal di Malaysia.
Namun, keadaannya kini tidak sama seperti sediakala selepas menderita bengkak kaki hingga menyukarkannya untuk berjalan.
Pihak keluarganya tidak menolak kemungkinan dugaan yang menimpa beliau mempunyai unsur-unsur sihir setelah pakar perubatan di hospital tidak dapat mengesan punca sebenar penyakit itu.
Selain itu, beliau ada menunjukkan beberapa penemuan barang meragukan seperti abu dan gambar beliau yang telah dibakar di dalam Pusat Pendidikan al-Barakah.
Ustaz Kazim Elias baru-baru ini berkongsi keadaan kesihatannya yang terkini dalam satu program Sembang Santai Bersama DUKE yang disiarkan secara langsung di Facebooknya.
Beliau berkongsikan tentang tahap kesihatannya sekarang dan memaklumkan kini semakin beransur pulih.
Penyakit dihidapi telah turut memberi kesan yang agak ketara pada wajah apabila ia menunjukkan sedikit perubahan berbanding penampilannya sebelum ini.
“Jadi tuan-tuan tengok sendirilah. Inilah wajah saya terkini, nak senyum pun sakit. Saya rasa mungkin wajah saya berubah 70 peratus dari yang asal, nampak lain,”
“Itu sahajalah yang dapat saya memberitahu kalian semua sekiranya ada orang yang ingin tahu tentang tahap kesihatan saya sekarang. Tengok muka, inilah dia,” katanya.
“Tengok hujung mata saya, tengok bawah bibir saya, tengok bibir saya, habis jadi hitam,” katanya.
Dalam pada itu, penyakit yang dialami Ustaz Kazim kemungkinan disebabkan ada individu yang dengki dan iri hati terhadap beliau, atau lebih dikenali sebagai penyakit ‘Ain’.
“Penyakit yang sedang saya hadapi ni mungkin ada benda-benda yang berkaitan dengan ‘Ain. Tapi saya lebih terkena kepada penyakit ‘Ain”. Kalau semua rawatan-rawatan biasa tak jalan, In sha Allah saya kena mandi di sungai pada waktu subuh menghadap hulu sungai beberapa hari,” menurutnya.
Mengulas lanjut, beliau akui sedang berusaha untuk mendapatkan rawatan agar kembali sihat seperti dahulu dan andainya ia tidak membuahkan hasil, rawatan mandi sungai pada waktu subuh merupakan alternatif seterusnya.
Sementara itu, beliau turut meminta semua mendoakan kesejahteraannya agar diberi kesembuhan segera.
Ruangan komen di laman Facebook beliau dibanjiri dengan ucapan dan kata-kata semangat sambil menitipkan doa agar Ustaz Kazim dapat kembali sihat seperti sediakala dan meneruskan gerak kerja dakwah.
Oleh Hafeez Anuar