Covid19KerohanianSemasaSyariah

‘Aku Terima Nikahnya..’ – JAWI Catat Sejarah Agensi Pertama Guna Video Call Untuk Majlis Nikah

 

Indahnya Islam kerana sentiasa ada rukhsah untuk umatnya laksanakan ibadah. Semalam Malaysia diserikan dengan khabar mengenai majlis akad nikah yang pertama dilangsungkan melalui video conference antara mempelai. Pasangan Muhammad Don Haadi dan Nadhatul Aishah melansungkan majlis akad nikah secara atas talian malah majlis tersebut dihadiri oleh Menteri Agama Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri sendiri bagi menyaksikan saat indah itu.

Dalam video tersebut juga menunjukkan lafaz akad oleh pengantin lelaki di skrin tv secara live. Majlis mengambil tempoh kurang dari 15 minit selesai diadakan 10.10 pagi tadi di rumah pengantin perempuan di Bandar Baru Wangsa Maju, Setapak, manakala pengantin lelaki pula berada di Setiawangsa.

Bapa pengantin perempuan, Mohd Sharif Khamis menjadi wali pernikahan dengan disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada JAWI atas usaha dan kejayaan bagi membantu pasangan yang berkahwin itu. Menurut beliau, usaha baik itu adalah bagi menangani dan memutuskan rantaian wabak COVID-19.

Saya ingin mengucapkan tahniah atas insiatif JAWI dan semua pihak yang terlibat dalam majlis yang bersejarah ini.

– Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Tambahnya, majlis itu selaras dengan ketetapan dikeluarkan JAWI pada 17 April lalu yang memberi kelonggaran kepada pasangan yang memperolehi kebenaran berkahwin.

JAWI membenarkan akad nikah secara sidang video (video conference) berdasarkan garis panduan dan borang permohonan ditetapkan.

Penjarakan sosial ternyata tidak menjadi halangan mana-mana individu untuk meneruskan niat membina masjid seperti yang dibuktikan oleh pasangan ini. Malah ia memberi contoh yang baik di mana majlis dapat dikekalkan dengan suasana yang sederhana tanpa unsur-unsur yang melalaikan.

Sama-sama kita doakan semoga perkahwinan mereka diberkati dan dikurniakan sakinah, mawaddah dan rahmah!

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button