Covid19KesihatanPendidikanSemasa

Aktiviti sukan, kokurikulum luar bilik darjah dibenar bermula 1 Sept

Garis panduan ketat, kebenaran bertulis ibu bapa - syarat

Mulai 1 September depan, aktiviti sukan dan kokurikulum di luar bilik darjah dibenarkan dengan garis panduan ketat termasuk mendapatkan kebenaran bertulis daripada ibu bapa atau penjaga murid.

Garis Panduan Pelaksanaan Aktiviti Sukan dan Kokurikulum di sekolah yang diluluskan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut menetapkan penggunaan bilik mandi atau persalinan dihadkan mengikut kapasiti.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata garis panduan itu juga menetapkan penjarakan fizikal satu hingga tiga meter bagi aktiviti statik dan tiga hingga lima meter bagi aktiviti dinamik dan peralatan perlu dibersihkan dan disanitasi.

Beliau berkata, garis panduan itu merangkumi pelaksanaan aktiviti sukan dan kokurikulum secara bersemuka termasuk amali di luar bilik darjah bagi mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) serta Sains Sukan dalam keadaan yang terkawal.

Katanya, semua garis panduan itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan (KPM) yang sedia ada.

“Kerajaan memahami psikologi pelajar ketika ini di mana semua aktiviti dilakukan di dalam kelas, jadi mereka dibenarkan melakukan aktiviti sukan di luar dengan garis panduan yang ketat,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Putrajaya, semalam

-Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Check Also
Close
Back to top button