BANGI: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melalui sukarelawan kesihatan bersama aktivisnya memberikan pemeriksaan kesihatan secara percuma di Karnival Perkampungan Ummah sempena 22 tahun Masjid Al-Hasanah pada Jumaat, Sabtu dan Ahad (hari ini).
Program selama tiga hari itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada segenap lapisan umur pengunjung yang hadir yang dalam masa sama mengimarahkan perkarangan Masjid Al-Hasanah.
Menurut salah seorang pengunjung, Sahidah, 24, dia sangat berpuas hati dengan rawatan yang diberikan dan ia memudahkan pesakit bagi mendapatkan rawatan kerana tidak perlu beratur panjang.
Pengunjung yang hadir bukan sahaja diberi pemeriksaan kesihatan percuma malah mereka dibekalkan ubat-ubatan secara percuma termasuk mendapat nasihat daripada doktor bertugas yang berpengalaman.
“Saya rasa program seperti ini harus sentiasa diadakan di masjid-masjid supaya masyarakat dapat mendapatkan rawatan kesihatan dengan cara yang lebih mudah dan percuma”, kata Muhammad Haikal, 27.
Sementara itu, Masjid Al-Hasanah bersama MAPIM Malaysia turut mengadakan sebuah forum bicara kesihatan dengan topik pemakanan mengikut sunnah Rasulullah S.A.W.
Bicara kesihatan ini disampaikan oleh Ustaz Syazni Abdullah sebagai moderator, Ustaz Rozie Rejab yang merupakan seorang pendakwah bebas dan Dr Akhyar Azhar dari MAPIM sebagai panel jemputan.
Program-program anjuran kali ini dilihat bukan sahaja memberikan khidmat kebajikan kepada ummah malah pengisian ilmu pengetahuan kepada pengunjung serta kaedah penjagaan kesihatan yang baik termasuk yang diamalkan oleh Nabi junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W.