BanjirSemasa

Ajal ketika cuci rumah

BALIK PULAU: Seorang buruh binaan meninggal dunia selepas dipercayai tergelincir ketika mencuci rumahnya yang dilanda banjir di Pulau Betong di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata Mohd Zailan Zainuddin, 35, dibawa ke Hospital Balik Pulau sebelum doktor yang merawatnya mengesahkan lelaki itu meninggal dunia pada 12.15 tengah malam tadi.

“Sebelum kejadian, mangsa dan isterinya mengemas rumah mereka yang dilanda banjir berikutan hujan lebat pada sebelah petang.

“Lelaki itu dikatakan terjatuh di pintu bilik dan disedari isterinya yang kemudian dibantu adik angkatnya untuk mengangkat mangsa ke atas katil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pihak polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian lelaki itu.

Semalam, hujan lebat lebih tiga jam menyebabkan ratusan rumah di Teluk Kumbar, Balik Pulau dan Teluk Bahang di sini ditenggelami hingga setengah meter.

Hujan lebat sejak jam 12.30 tengah hari itu turut menyebabkan beberapa jalan raya terutama di Pulau Betong, Balik Pulau tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

BERNAMA

Related Articles

Back to top button