Sebanyak 155 tangki marmar yang mengalirkan air zamzam diaktifkan semula berserta 20,000 tong air zamzam mudah alih ditempatkan di seluruh kawasan Masjidil Haram, Mekah oleh Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, bermula Isnin.
Penyediaan air zamzam itu dimaklumkan Penolong Pengarah Urusan Teknikal dan Perkhidmatan Hal Ehwal Masjidil Haram Mohammed bin Musleh Al-Jabiri, menerusi perkongsiannya di Twitter.
Menurut jabatan itu, pada kebiasaannya lebih 20,000 tong air zamzam disediakan di Masjidil Haram bagi menampung purata penggunaan yang mencecah 1,633,030 meter padu air setiap hari.
Pada pertengahan bulan lepas, sebanyak 600 tong dengan kapasiti 30,000 tan air zamzam di seluruh Masjid Nabawi, Madinah dimulakan.
Sebelum ini, operasi penyediaan air zamzam dihentikan ekoran pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia.
Oleh itu, pengedaran air zamzam diteruskan dengan menggunakan robot pintar untuk mengelakkan sebarang sentuhan antara jemaah dan petugas Masjidil Haram serta Masjid Nabawi.
Sementara itu, bermula 10 Oktober, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan pemberian visa umrah dan permit solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi terhad kepada individu lengkap vaksin Covid-19.
Bagaimanapun, jemaah yang diberi pengecualian mengambil vaksin dan berdaftar dengan aplikasi “Tawakkalna” dibenarkan untuk melawat dua masjid suci tersebut.
Oleh Nurshazlin Shahrom